X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga unit kedai jual pakaian jenama terkenal dari Jepun terbakar

Gambar hiasan
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga unit kedai menjual pakaian di dalam sebuah kompleks membeli-belah di Taman Desa Tebrau di sini, mengalami kebakaran dalam kejadian dipercayai berlaku awal hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saiful Bahri Safar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di premis menjual pakaian jenama terkenal dari Jepun itu pada 3.50 pagi tadi.

“Enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi bagi memadam kebakaran di premis tingkat bawah kompleks membeli-belah berkenaan.

“Operasi turut mendapat bantuan daripada lapan anggota bersama sebuah jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau,” katanya yang dihubungi di sini hari ini.

Saiful Bahri berkata, tiada mangsa terlibat dalam kebakaran berkenaan, manakala punca dan kerugiannya sedang disiasat.

“Sejurus tiba, bomba mendapati proses pemadaman kebakaran mendapat bantuan awal daripada sistem kebakaran bangunan yang aktif iaitu perenjis air. Operasi kebakaran kemudian tamat pada jam 6.03 pagi tadi,” katanya. - Bernama