Mayat nelayan hilang ditemui

Mayat mangsa dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya. Foto IPD Dungun
Mayat mangsa dibawa naik dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya. Foto IPD Dungun
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mayat nelayan yang dilaporkan hilang setelah bot dinaikinya karam di muara Kuala Dungun pagi semalam, ditemui pasukan polis marin kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian pagi tadi.

Mangsa, Afandi Zakaria, 42, ditemui pada jam 10.20 pagi dalam keadaan terapung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aidil Khairin Abdul Wahab berkata, serentak dengan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ditutup sepenuhnya pada jam 11.30 pagi tadi.

“Operasi SAR pada hari ini bermula pada jam 6.45 pagi dengan kekuatan 60 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasa. Selain pencarian di laut, operasi pencarian di pesisir pantai juga kita gerakkan di sepanjang 10 kilometer dari pos kawalan bomba.

“Mangsa dijumpai oleh pasukan polis marin kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang. Mayatnya kemudian diserahkan kepada polis seterusnya dibawa ke Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi semalam, mangsa yang berasal dari Jalan Bunga Raya, di sini, didapati terpisah daripada dua rakannya, Mohamad Ekhsan Kamaruddin, 32, dan Mohd Fadhil Jusoh, 39.

Dua rakannya bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai sambil berpaut dengan tong minyak.

Artikel Berkaitan: