X

Kindly register in order to view this article
!

RM111.47 juta untuk kemajuan sukan, pembangunan belia di Sabah

Shafie - Foto fail Bernama
A
A

KENINGAU - Kerajaan Sabah akan memperuntukkan sejumlah RM111.47 juta untuk pembangunan belia dan kemajuan sukan di Sabah pada tahun depan, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau berkata, RM24.76 juta daripada peruntukan itu adalah untuk kemajuan sukan dan RM86.71 juta pula untuk pembangunan belia.

Menurutnya, selain itu kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah memberi geran tahunan kepada Persatuan Sukan Negeri serta membantu dalam penganjuran dan penyertaan pertandingan sukan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Kerajaan juga memberi insentif dan pengiktirafan kepada ahli sukan serta badan sukan yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan Sukan Sabah (SAGA) ke-9 di sini malam ini.

Sukan Sabah (SAGA) ke-9 bermula hari ini sehingga 13 Disember dan sebanyak 21 jenis sukan dipertandingkan dengan menawarkan 579 pingat kepada atlet dari 27 daerah yang menyertai sukan dwi tahunan itu.

Mohd Shafie berkata, menyedari pentingnya sukan ke arah pembangunan modal insan kelas pertama, kerajaan Sabah akan terus membina prasarana sukan di peringkat daerah, bahagian dan negeri manakala bagi melahirkan jurulatih, pentadbir, pegawai teknikal dan atlet yang unggul dan berpengalaman, sistem pengurusan dan pentadbiran sukan yang berkesan akan dilaksanakan.

Mengulas mengenai kejohanan itu, beliau berkata, penganjuran SAGA ke-9 menjadi medan yang boleh mencungkil lebih ramai bakat muda untuk mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Katanya, penganjuran SAGA ke-9 merupakan antara usaha kerajaan untuk memastikan Sabah tidak ketandusan atlet yang berpotensi. - Bernama