Jangan salah guna teknologi: Agong

Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Anugerah Canselor kepada Graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan (MBA) Amir Suhaimi Hassan pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom University of Automotive Malaysia hari ini. - Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong berkenan menyampaikan Anugerah Canselor kepada Graduan Ijazah Pentadbiran Perniagaan (MBA) Amir Suhaimi Hassan pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom University of Automotive Malaysia hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya rakyat tidak menyalahgunakan teknologi moden dan komunikasi alam maya sebagai alat untuk merosakkan negara.

Seri Paduka bertitah rakyat perlu menggunakan teknologi itu sebagai alat untuk mensejahterakan rakyat dan mencipta kejayaan.

"Saya ingin berpesan agar tidak guna teknologi bagi tujuan ini kerana perbuatan menyebarkan fitnah, berita palsu dan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian serta perpaduan negara.

"Tindakan ini adalah satu perbuatan terkutuk dan tidak bertanggungjawab. Rakyat seharusnya lebih menghargai negara," titahnya.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom University of Automotive Malaysia di sini hari ini.

Konvokesyen tahun ini menyaksikan seramai 686 graduan menamatkan pengajian dalam bidang ijazah bagi program sarjana muda dan pasca siswazah dalam 45 program pengkhususan di universiti ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar, Naib Canselor Universiti Of Automotive Malaysia, Profesor Datuk Dr Omar Osman dan barisan Exco kerajaan negeri.

Al-Sultan Abdullah bertitah universiti ini telah mengorak langkah dengan melancarkan program akademik menerusi kaedah pembelajaran berlandaskan pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Titahnya, kaedah ini mampu memberi pendedahan lebih jelas kepada proses dan teknologi terkini yang digunakan pakai di dalam dunia serba moden.

"Saya telah disembah maklum bahawa universiti ini telah memperkenalkan pembelajaran pengalaman kampus maya yang membolehkan pelajar tidak perlu hadir ke kampus untuk mengikuti sesi pembelajaran.

"Saya yakin kaedah pembelajaran ini dapat membuka lebih banyak ruang kepada semua rakyat untuk menimba ilmu tanpa mengira di mana jua mereka berada," titahnya.

Selain itu, baginda juga mahu rakyat tidak putus asa setiap kali menemui kegagalan sebaliknya menjadikan kegagalan untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

"Jangan takut pada kegagalan sebab kegagalan akan membuat kita lebih baik dari apa yang kita ada sekarang," titahnya.