X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu lori tuduh polis minta wang direman tiga hari

A Asmadi (kanan) bersama anggota yang terlibat dalam insiden itu, Zulkifli (dua dari kanan) menunjukkan gambar lori suspek yang ditahan atas kesalahan membawa barangan melebihi had muatan tanpa ada ciri keselamatan.
A
A

IPOH - Pemandu lori yang membuat provokasi dan menuduh polis meminta wang telah direman selama tiga hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, wanita yang juga isteri suspek yang merakam insiden itu telah dilepaskan dengan jaminan polis.

“Kita mendapat reman suspek berusia 33 tahun itu sehingga Isnin ini untuk membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang tugas penjawat awam.

“Isterinya yang berusia 29 tahun pada awalnya ditahan telah dilepaskan dengan jaminan atas faktor kemanusiaan kerana keadaannya yang sarat mengandung tujuh bulan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan Ketua Polis Balai Lahat, Sub Inspektor Zulkifli Md Asid menahan lori itu bertepatan apabila suspek membawa muatan rangka kereta tanpa ciri keselamatan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Ada persepsi apabila polis tahan kononnya kita nak minta duit. Itu satu tohmahan yang tidak adil dilemparkan kepada kami.

“Zulkifli merupakan anggota berpengalaman yang berkhidmat dalam PDRM selama 39 tahun berjaya mengawal diri dan situasi secara profesional,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu lori tuduh polis minta wang ketika pemeriksaan ditahan

A Asmadi berkata, orang ramai dapat hentikan penularan video berkenaan bagi melicinkan proses siasatan tanpa sebarang provokasi tambahan.

“Pihak IPD Ipoh sentiasa mengalu-alukan masyarakat yang menghadapi masalah berjumpa kita menerusi program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan setiap Jumaat.

“Orang ramai boleh berjumpa saya atau ketua-ketua bahagian untuk menyuarakan apa jua permasalahan yang boleh kita beri pertimbangan sewajarnya,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus