X

Kindly register in order to view this article
!

TMM 2020 bawa limpahan ekonomi kepada penduduk luar bandar

Mohamaddin
A
A

KUALA LUMPUR - Kedatangan pelancong asing semasa Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) secara tidak langsung dapat membawa limpahan ekonomi kepada penduduk luar bandar, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Beliau berkata, menerusi pelbagai kempen yang dilaksanakan terutamanya daripada segi pemasaran digital ia akan membawa pelancong luar negara ke kawasan berkenaan.

Mengambil contoh kerjasama strategik Tourism Malaysia dan Kumpulan Expedia beliau berkata, ia membantu dalam mengetengahkan tempat-tempat pelancongan baharu yang tersembunyi dan unik di Malaysia, selain turut mempromosikan pelbagai pilihan penginapan kepada pelancong antaranya inap desa yang terletak di luar bandar.

“Melalui kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan Kumpulan Expedia ini, kedua-dua pihak memulakan kempen global secara digital untuk menarik pelancong dari Australia, Jepun dan Amerika Syarikat ke Malaysia.

“Limpahan ekonomi akan sampai ke luar bandar lebih-lebih lagi promosi kali ini ada penambahbaikan daripada segi digital termasuk melalui platform media sosial dengan meluas dan agresif,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif: TMM2020 yang disiarkan secara langsung di TV1.

Sementara itu Mohamaddin berkata, TMM2020 yang menyasarkan 30 juta pelancong asing dengan RM100 bilion pendapatan itu turut mengadakan kerjasama dengan '25 Key Opinion Leaders' atau individu yang berpengaruh dalam media sosial dari sembilan negara ASEAN di bawah program 'Malaysia-ASEAN Tourism Influencers Key Opinion Leaders' (MAIKOL) dari 26 Ogos hingga 1 September lepas.

“'Key Opinion Leaders' ini akan menggunakan pengikut mereka untuk mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan menarik di Malaysia,” jelasnya.

Selain itu menurutnya, tahun depan Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada beberapa persidangan antarabangsa antaranya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 dan Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2020, di mana ia akan membuka peluang yang luas dalam mempromosi TMM2020 di peringkat antarabangsa.

Pihaknya turut meletakkan Logo TMM2020 di kapal terbang milik Malaysia Airlines, AirAsia, dan Malindo Air bagi tujuan promosi dalam dan luar negara.

Sempena TMM 2020, Mohamaddin turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya meningkatkan aspek kebersihan dalam usaha menjaga imej negara di mata pelancong. - Bernama