Bendera lambang kedaulatan negara

A
A
A

Sebuah negara yang merdeka dan berdaulat mempunyai pelbagai lambang dan simbol yang mencerminkan identiti dan kedaulatan negara tersebut. Oleh yang demikian setiap perkara yang telah diwartakan sebagai lambang atau simbol kedaulatan negara, lambang atau simbol yang terlibat tidak boleh diperlakukan dengan sesuka hati tanpa mengikut peraturan yang sedia ada dalam negara yang terlibat. Malaysia yang merupakan sebuah negara merdeka dan berdaulat juga tidak terkecuali daripada peraturan dan senario sedemikian.

Malaysia yang sudah mencapai kemerdekaan selama 62 tahun mempunyai pelbagai lambang dan simbol kedaulatan negara. Kesemua lambang dan simbol yang telah diwartakan itu tidak boleh dipandang dengan sebelah mata. Setiap lambang dan simbol kedaulatan negara tersebut wajar digunakan dan diletakkan dengan penuh tatasusila dan hormat kerana ia melibatkan maruah negara ini.

Salah satu lambang dan simbol kedaulatan negara ini ialah bendera Malaysia atau lebih dikenali sebagai Jalur Gemilang. Walaupun Jalur Gemilang ini merupakan suatu corak yang dilukis di atas sehelai kertas ataupun kain, ia bukanlah bererti corak tersebut boleh diperlakukan dengan sesuka hati. Jalur Gemilang itu masih wajar dihormati dan tidak boleh sama sekali menyalahgunakannya seperti menjadikannya sebagai pengelap kaki ataupun tikar.

Justeru, insiden mengibarkan bendera Malaysia yang salah pada sebuah temasya sukan baru-baru ini merupakan kejadian yang amat menyedihkan. Kejadian seumpama itu wajar dilihat secara serius oleh semua pihak terutamanya yang bertanggungjawab dengan penganjuran acara sukan tersebut.

Jika seseorang individu ataupun sekumpulan masyarakat menggunakan Jalur Gemilang dengan cara yang salah seperti meletakkannya di tempat yang tidak sepatutnya sudah pun dianggap sebagai suatu perbuatan yang melanggar peraturan sedia ada, maka perbuatan mengubah warna atau simbol yang ada pada Jalur Gemilang sememangnya suatu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

Alasan yang menyatakan, Jalur Gemilang tersebut diletakkan secara tidak sengaja tidak boleh diterima kerana Jalur Gemilang yang dikibarkan semasa insiden tersebut sememangnya telah dicetak sedemikian rupa. Alasan yang menyatakan pihak penganjur tidak menyedari simbol bintang yang ada dalam Jalur Gemilang adalah salah merupakan suatu alasan yang sangat dangkal dan tidak boleh diterima. Ini adalah kerana Malaysia bukanlah baru mencapai kemerdekaannya. Jalur Gemilang negara ini telah pun berkibar selama 62 tahun. Justeru, alasan tidak mengetahui warna, bentuk dan simbol yang ada dalam Jalur Gemilang sememangnya tidak dapat diterima.

Hanya individu atau pihak yang sengaja sahajalah yang akan sanggup melakukan tindakan yang sedemikian. Keadaan itu menjadi lebih parah dan amat menyedihkan lagi apabila insiden tersebut berlaku di dalam negara sendiri, tanah tumpah darahku.

Untuk memastikan kejadian dan insiden sebegini tidak berulang lagi, pihak yang berwajib perlu mengambil tindakan serius terhadap mereka yang terlibat agar tindakan tersebut mampu untuk menjadi pengajaran kepada orang lain untuk tidak melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini. Tindakan serius dan tegas yang diambil oleh pihak yang berwajib mampu untuk menyekat insiden itu daripada berulang.

Artikel Berkaitan:

Pihak berwajib boleh memikirkan pelbagai tindakan yang sesuai untuk si pelaku yang menyalahgunakan simbol dan lambang kedaulatan negara ini. Setiap negara mempunyai cara dan kaedah yang tersendiri untuk menangani salahlaku penggunaan simbol dan lambang kedaulatan negara yang terlibat.

Negara China, Indonesia, Vietnam dan Myanmar mempunyai cara dan keunikan tersendiri untuk memastikan setiap rakyat tidak akan berani untuk mempermainkan lambang kedaulatan negara mereka.

Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat mungkin boleh mengadaptasi pelbagai kaedah daripada negara tersebut ataupun menggunakan kaedah sendiri untuk mengekang kejadian tersebut daripada berulang pada masa hadapan.

Dengan adanya usaha dan tindakan yang tegas daripada pihak yang berwajib, pastinya insiden penyalahgunaan lambang dan simbol kedaulatan negara seperti Jalur Gemilang tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Kesemua lambang dan simbol yang telah diwartakan ini tidak boleh dipandang dengan sebelah mata."*

Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pakar Sosiologi