Protes Hong Kong: Wartawan cedera tuntut jawapan

Veby Mega Indah. - Foto Agensi
Veby Mega Indah. - Foto Agensi
A
A
A

HONG KONG - Lebih dua bulan selepas hilang penglihatan sebelah mata yang dipercayai akibat peluru dilepaskan oleh polis antirusuhan Hong Kong, seorang wartawan Indonesia sehingga kini masih menuntut jawapan untuk kejadian itu.

Veby Mega Indah, 39, adalah antara kumpulan pengamal media yang membuat liputan tentang salah satu daripada ratusan pertempuran antara polis bersenjata dengan penunjuk perasaan antikerajaan yang tercetus hampir setiap hari sejak lebih enam bulan lalu.

"Ketika itu saya sedang melakukan siaran langsung. Kemudian terdapat beberapa perusuh muncul dan polis bersedia untuk melepaskan tembakan. Saya terdengar seorang wartawan di belakang saya menjerit jangan tembak, kami semua media.

"Tidak lama kemudian, saya dengar bunyi tembakan dan nampak asap dari tangga sebelum peluru terkena pada mata kanan saya," katanya.

Kes yang berlaku kepada Veby Mega menggambarkan risiko yang terpaksa ditempuh media ketika membuat liputan mengenai protes yang semakin ganas.

Ramai wartawan turut menjadi mangsa gas pemedih mata, semburan lada, projektil yang dilemparkan kedua-dua pihak termasuk dihina serta penderaan lisan.

Veby Mega bekerja sepenuh masa untuk Suara Hong Kong, sebuah saluran media Indonesia yang menghidangkan berita buat ribuan rakyat negaranya di Hong Kong dan keluarga serta rakan mereka di tanah air dan di seluruh dunia.

"Saya masih mahu jadi seorang wartawan, masih mahu meneruskan tugas ini. Saya tidak tahu selama mana saya boleh pikul tanggungjawab ini. Soalan itu sering bermain-main di fikiran saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, peguam Veby Mega yang mewakili dirinya telah menyaman polis Hong Kong namun sehingga kini masih tiada jawapan.

Veby Mega telah mengemukakan aduan dan meminta nama pegawai yang melepaskan peluru getah berkenaan.

"Setakat ini tiada sebarang penyiasatan dilakukan walaupun aduan telah difailkan. Keadilan sangat penting dalam kes saya kerana ia bukan hanya tentang saya tetapi untuk semua mangsa yang cedera di Hong Kong," katanya.

Pada taklimat polis 29 November lalu, jurucakap Kong Wing Cheung menafikan pihak berkuasa melambat-lambatkan kes Veby Mega.

"Pejabat yang bertanggungjawab mengendalikan aduan terhadap polis telah bercakap dengan peguam namun ia melibatkan banyak prosedur undang-undang," katanya. - Agensi