Dua syarikat antarabangsa bakal taja TRW

Gambar hiasan. FOTO: FB TRW
Gambar hiasan. FOTO: FB TRW
A
A
A

KOTA BHARU - Dua syarikat antarabangsa, masing-masing dalam industri minyak dan gas serta pengeluar minuman bersetuju pada dasarnya untuk menjadi rakan penaja baharu skuad The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Perkara tersebut dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Penajaan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Ahmad Muzzakir Hamid.

Beliau berkata, dua syarikat berkenaan menunggu keputusan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi pasukan Kelantan yang kini berstatus bersyarat.

"Kafa sedang berusaha untuk menyelesaikan beberapa perkara dan syarat yang ditetapkan oleh FAM bagi mendapatkan lesen penuh untuk pengurusan penajaan dua syarikat terbabit dilakukan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Menurut beliau, dua syarikat antarabangsa itu secara dasarnya telah bersetuju untuk menaja skuad The Red Warrior (TRW) dengan jumlah yang mencecah jutaan ringgit dan berharap urusan berkaitan penajaan itu akan berjalan lancar.

Sebelum ini, Kafa dilaporkan telah mendapat lesen kelab bersyarat bagi melayakkan diri untuk bersaing pada saingan Liga Premier musim depan.

Antara syarat yang perlu dipenuhi oleh persatuan itu ialah perlu membayar tunggakan gaji bekas pemain dan agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Muzzakir berkata, lesen kelab berstatus bersyarat serta keadaan ekonomi semasa sedikit merencatkan usaha Kafa untuk mendapatkan penaja untuk pasukan TRW. - Bernama

Artikel Berkaitan: