Banjir gelombang ketiga di Terengganu pulih

Sebuah kediaman dinaiki air di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu. - Foto NORHASPIDA YATIM
Sebuah kediaman dinaiki air di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu. - Foto NORHASPIDA YATIM
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Banjir gelombang ketiga di Terengganu yang bermula sejak 1 Disember lalu dijangka telah pulih sepenuhnya walaupun masih terdapat sejumlah mangsa banjir yang masih berbaki di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuala Nerus.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, jangkaan itu berdasarkan perubahan keadaan cuaca dan lebih ramai mangsa banjir yang dibenarkan pulang ke rumah bermula semalam.

Bagaimanapun, katanya pemantauan terhadap keadaan semasa cuaca akan terus dijalankan berdasarkan maklumat yang disalurkan Jabatan Meteorologi Malaysia.

Katanya, ia termasuk jangkaan terhadap fasa atau gelombang banjir seterusnya.

"Untuk jangkaan fasa atau gelombang seterusnya kita sentiasa memantau dan mendapat rujukan utama perkembangan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia.

Keadaan angin kencang di Pantai Pengkalan Maras, Kuala Nerus. - Foto NORHASPIDA YATIM
Keadaan angin kencang di Pantai Pengkalan Maras, Kuala Nerus. - Foto NORHASPIDA YATIM

"Buat masa ini, Jabatan Meteorologi Malaysia masih menganalisis dan sentiasa mengemaskini keadaan cuaca monsun timur laut.

"Berdasarkan makluman awal, dijangka kemungkinan minggu depan antara 8 hingga 10 Disember depan berlaku sedikit hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kita akan lihat dahulu komposisi hujan yang dibawa oleh angin ataupun awan berkenaan signifikan untuk berlakunya banjir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikemaskini sehingga jam 4 petang tadi merekodkan masih terdapat seramai 229 mangsa yang ditempatkan di empat buah PPS di daerah Kuala Nerus.

Daripada jumlah itu, seramai 39 mangsa di tempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntong, SK Kampung Gemuruh (72), Homestay Kampung Raja, Tepoh (13) dan lima mangsa di SK Bukit Nenas.