MNS terus aktif perjuang isu alam sekitar

Dr Ahmad Ismail
Dr Ahmad Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) akan terus komited memperjuangkan isu alam sekitar di negara ini.

Presiden MNS, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, persatuan tersebut akan menyambut ulang tahun ke-80 namun akan terus agresif berjuang bagi mempertahankan alam sekitar dari terus musnah di tangan pihak yang alpa terhadap tanggungjawab untuk menjaga kepentingan alam semula jadi.

"MNS ditubuhkan pada tahun 1940 ini adalah persatuan berasaskan alam semula jadi tertua di Malaysia yang mana ahlinya di kalangan sukarelawan daripada pelbagai latar belakang yang aktif bergerak untuk melindungi, memulihara serta menguruskan alam semula jadi.

"Memandangkan Malaysia berada pada kedudukan nombor 12 di dunia dari segi kepelbagaian biologi, maka peranan MNS sangat penting dalam memastikan kepelbagaian biologi negara terus dilindungi dan dipulihara," katanya.

Menurut Ahmad, MNS mempunyai 14 cawangan dan hampir 500 Kelab Pencinta Alam (KPA) di sekolah yang aktif dalam aktiviti pendidikan alam semula jadi bagi memberikan pengetahuan dan kesedaran awam mengenai pentingnya alam semula jadi dan kepelbagaian biologi yang merupakan khazanah negara.

"Esok adalah pra perasmian sempena menyambut ulang tahun MNS ke-80. Banyak aktiviti bagi memperkasakan kesedaran awam dalam melindungi dan memulihara kepelbagaian biologi negara diadakan.

"Antara aktiviti penting seperti sambutan hari tanah lembab, pemerhatian burung pemangsa, hari bumi, hari alam sekitar sedunia, hari tapir, penyu, gajah, harimau dan sebagainya akan ditambah baik.

"Adalah diharapkan pengalaman MNS selama 80 tahun dengan ahli aktif lebih 3000 orang mampu menghadapi cabaran besar dalam perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan alam semula jadi. Permintaan pembangunan dan penerokaan hutan yang aktif memerlukan sumbangan MNS," tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, diharapkan ahli MNS akan meningkat kepada 5,000 akhir tahun 2020 dan 1,000 sekolah akan menjadi ahli KPA.

"Dengan kekuatan baharu itu nanti memberi peluang kepada MNS menyumbang lebih efektif lagi dalam pemuliharaan alam semula jadi.

"MNS sudah menyumbang kepada penubuhan Taman Negara Pahang, Taman Negeri Endau Rompin dan Taman Negeri Royal Belum," katanya.