Hukuman berat menanti penjual rokok, arak tak lulus Kastam

DATUK SERI SUBROMANIAM THOLASY
DATUK SERI SUBROMANIAM THOLASY
A
A
A

BANGI - Hukuman lebih berat menanti penjual rokok dan minuman keras tidak lulus kastam susulan pindaan Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976 yang berkuat kuasa sejak 2 Januari lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam berkata penjara minimum enam bulan atau denda RM100,000 akan dikenakan kepada peniaga yang ingkar bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan pengelakan duti rokok dan minuman memabukkan.

Sebelum pindaan kedua-dua akta tersebut, hukuman yang dikenakan ke atas pesalah hanya penjara minimum sehari atau minimum denda sebanyak RM1,000 atau kedua-duanya sekali, katanya pada sidang media di sini hari ini.

Susulan pelaksanaan pindaan itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah berjaya membuat tangkapan dan membawa dua orang pesalah ke Mahkamah Majistret Kota Bahru, Kelantan hari ini.

Menurutnya, kedua-dua warga Pakistan tersebut memiliki barangan larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dengan nilai barang kes RM152 dan cukai yang terlibat RM1,010.04.

Menurutnya lagi, dua individu itu mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan dan dikenakan denda RM100,000 dan sekiranya gagal membayar denda akan dikenakan penjara 12 bulan.

"Kita menjangkakan untuk bulan ini sahaja kira-kira 50 kes akan dihadapkan ke mahkamah berkaitan penyeludupan dan penjualan rokok dan minumaan keras tidak lulus kastam," katanya.

Katanya JKDM tidak lagi membenarkan kes-kes sebegini dikompaun sebaliknya akan terus dihadapkan ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

"Dengan pelaksanaan hukuman yang lebih tinggi ini, saya percaya JKDM akan memungut hasil kutipan cukai lebih tinggi sebagaimana pengumuman Belanjawan 2019 lalu yang mana kastam dikehendaki mencari hasil tambahan dari rokok sahaja sebanyak RM1 bilion," katanya.

Subromaniam turut mengingatkan para peniaga untuk tidak menjual rokok dan minuman keras tidak lulus kastam atau bakal berdepan dengan hukuman berat iaitu denda RM100,000 walaupun hanya menjual sekotak rokok.

"Adalah mustahil untuk menjual sekotak rokok berharga RM5 kerana duti eksais dan cukai jualan dan perkhidmatan sudah berjumlah kira-kira RM10," katanya. - Bernama