Pertimbang semula projek ECRL

ANDANSURA, SOFIAN dan MUJIBUR
ANDANSURA, SOFIAN dan MUJIBUR
A
A
A

KUANTAN – Wakil Rakyat Pas menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan kerajaan sedang berbincang mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam skala lebih kecil.

Adun Berserah, Andansura Rabu berkata, perkara itu dapat memberi kesan terhadap limpahan pembangunan kepada jajaran sekitarnya bagi mengimbangkan wilayah berkenaan.

"Saya yakin sekiranya benar dilaksanakan dapat membawa kebaikan kepada rakyat di kawasan pedalaman. Saya menyambut baik projek tersebut untuk diteruskan dan dipertimbangkan.

“Ini adalah untuk memastikan jaringan perhubungan antara pantai Timur dan kawasan Pantai Barat dapat dipertingkatkan sekali gus mempertingkatkan aktiviti ekonomi penduduk-penduduk di kawasan Pantai Timur ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, adalah diperakui bahawa ECRL merupakan projek yang berskala besar dengan kos mega.

Justeru katanya, ia perlu dirombak semula dan tidak seharusnya dibatalkan apabila ia mempunyai signifikan dan memberi kesan yang besar kepada negeri-negeri di Pantai Timur.

Adun Chenor, Mujibur Rahman Ishak berkata, kerajaan perlu melihat daripada aspek kemajuan Pantai Timur serta kemudahan perhubungan rakyat.

“Projek tersebut amat penting untuk dijalankan. Walau pun dengan skala yang kecil, kerajaan patut meneruskannya di samping dapat membuka peluang pekerjaan baharu kepada rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi Adun Luit, Sofian Abd Jalil, beliau yakin pembinaan ECRL di Pahang akan memberi impak besar kepada penduduk terutamanya bagi aspek ekonomi.

“Kita akan menerima limpahan perkembangan ekonomi dari pantai Barat atau kita menjual produk, saya yakin, manfaatnya sangat menyeluruh.

“Projek ini bukan sahaja mendatangkan kebaikan dari segi pembinaan dan pembangunan bahkan ia melibatkan industri pembuatan, perkhidmatan seperti industri pemakanan, pendidikan dan perladangan.

"Juga membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat Saya sangat menyokong projek dapat disegerakan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri dipetik berkata Malaysia dan China masih membincangkan perkara berkenaan dan sehingga kini belum menemui kata putus.

Menurutnya, apa yang perlu dipastikan adalah kerajaan Malaysia tidak berbelanja terlalu besar dan China tidak mengalami kerugian.