Madu kelulut stevia jana pendapatan ibu tunggal

Kelulut jenis Heterotrigina Itama yang diternak di dalam kawasan tanaman stevia di Kampung Tempinis, Besut. - Foto Prof Madya Dr Shamsul Bahri
Kelulut jenis Heterotrigina Itama yang diternak di dalam kawasan tanaman stevia di Kampung Tempinis, Besut. - Foto Prof Madya Dr Shamsul Bahri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Projek kelulut bersama komuniti ibu tunggal di Kampung Tempinis, Besut yang dijalankan kumpulan akademik dan pelajar dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membantu menjana pendapatan ibu tunggal yang tinggal di kawasan pesisir pantai.

Ketua Penyelidik Kumpulan Lebah dan Kelulut UMT, Profesor Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata, projek kelulut pesisir pantai yang dimulakan sejak 2014 di bawah bantuan dana geran penyelidikan nic universiti (NRGS) itu bertujuan mengembangkan ilmu daripada ahli akademik kepada komuniti serta meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

Shamsul Bahri (kanan) menunjukkan cara melihat kandungan gula dan kelembapan di dalam madu kepada Zainon. - Foto Prof Madya Dr Shamsul Bahri
Shamsul Bahri (kanan) menunjukkan cara melihat kandungan gula dan kelembapan di dalam madu kepada Zainon. - Foto Prof Madya Dr Shamsul Bahri

Beliau berkata, pada peringkat permulaan, projek itu menempatkan 25 sarang kelulut di plot eksperimen Kampung Tempinis yang diselia seramai tiga ibu tunggal iaitu Zainon Husain, 51, Rosmani Mat Deris, 56 dan Wan Hanisah Wan Hassan, 49 dengan dibantu mahasiswa UMT.

“Sebelum tertumpu kepada projek integrasi dan perusahaan kelulut, ketiga-tiga ibu tunggal ini membuat kerja-kerja sampingan dengan terlibat dengan tanaman stevia.

“Kini selain dapat menuai hasil daripada madu kelulut mereka juga berjaya mengeluarkan beberapa produk kosmetik seperti sabun, losen, krim kecantikan serta beberapa produk lain berasaskan madu dan propolis.

“Projek yang turut dibantu oleh Jabatan Pertanian Negeri Terengganu ini juga telah berkembang dan bilangan koloni kelulut bertambah sehingga 100 koloni,” katanya.

Shamsul Bahri berkata, produk madu kelulut stevia yang dijenamakan sebagai Madu Jabee itu dijual pada harga RM250 hingga RM300 sekilogram (kg) di pasaran tempatan.

Artikel Berkaitan:

Madu Jabee merupakan madu kelulut premium yang mengandungi bahan bioaktif stevioside. - Foto Prof Madya Dr Shamsul Bahri
Madu Jabee merupakan madu kelulut premium yang mengandungi bahan bioaktif stevioside. - Foto Prof Madya Dr Shamsul Bahri

Katanya, jualan madu kelulut itu juga melalui saluran dan jaringan Persatuan Ibu tunggal Terengganu (KUWAT) yang dianggotai lebih 20,000 ahli.

“Antara keunikan projek kelulut di Kampung Tempinis ini ialah ia ditempatkan pada di plot tanaman pokok stevia seluas suku hektar. Pokok stevia merupakan sumber pemanis semula jadi menjadi sumber nektar (madu bunga) yang dikutip oleh kelulut dan ditukar menjadi madu.

“Analisis makmal terhadap madu hasil projek ini menunjukkan terdapat kandungan bioaktif stevioside yang terdapat di dalam madu yang dihasilkan. Ini menjadikan madu kelulut yang diusahakan ibu tunggal sebagai madu kelulut unik dan premium,” katanya.

Koloni kelulut yang ditempatkan di dalam kawasan tanaman stevia di Kampung Tempinis, Besut. - Foto Prof Madya Dr Shamsul Bahri
Koloni kelulut yang ditempatkan di dalam kawasan tanaman stevia di Kampung Tempinis, Besut. - Foto Prof Madya Dr Shamsul Bahri

Dalam pada itu katanya, produk madu kelulut stevia itu juga memenangi beberapa anugerah inovasi seperti Anugerah Inovasi UMT yang diadakan di Dewan Sultan Mizan pada Mei 2015.

“Kerajaan Terengganu menerusi program promosi madu iaitu Madu Ole-Ole Terengganu juga mengiktiraf produk madu kelulut stevia dari Kampung Tempinis sebagai madu unik dan tersenarai sebagai salah satu produk yang dipromosikan oleh kerajaan negeri,” katanya.