Kerjasama PH-BN Terengganu ke arah kebaikan bersama

Pembahagian kerusi antara PH dan BN Terengganu dalam proses perbincangan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Raja Kamarul Bahrin)
Pembahagian kerusi antara PH dan BN Terengganu dalam proses perbincangan. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Raja Kamarul Bahrin)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu percaya dapat menyelesaikan pembahagian kerusi dengan baik melalui rundingan dalam suasana yang harmoni bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pembahagian kerusi bersama BN setakat ini sedang dalam proses perbincangan melibatkan kedua-dua belah pihak.

Jelas beliau, kepimpinan PH dan BN Terengganu telah pun mengadakan pertemuan secara tidak rasmi sejak dua tahun lalu.

“Kedua dua pihak kemudian menyedari gabungan diperlukan untuk menghadapi Perikatan Nasional (PN) dan Pas di seluruh negara serta Terengganu khususnya.

“Atas kesedaran tersebut dan juga hanya melalui budaya politik matang sahaja, matlamat membawa perubahan kepada landskap politik Terengganu akan dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Raja Kamarul Bahrin yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, sikap tolak ansur melalui budaya musyawarah dan kesabaran adalah jalan terbaik untuk mencapai kerjasama PH dan BN bagi menghadapi PRN Terengganu akan datang.

“Kami berharap semua pihak dapat bersabar dan menghadapi dugaan dengan tenang supaya kebaikan bersama dapat dicapai demi kebaikan umum keseluruhan rakyat Terengganu,” katanya.

Sebanyak enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka mengadakan PRN pada tahun ini.

Ia melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Terengganu mempunyai 32 kerusi DUN dan dalam PRU14 lalu, 22 kerusi dimenangi oleh Pas manakala 10 lagi dikuasai BN.