X

Kindly register in order to view this article
!

Kempen beli barangan Malaysia catat jualan RM3.1 juta

Saifuddin Nasution
A
A

KUALA LUMPUR - Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dengan kerjasama platform e-dagang Shopee mencatatkan jualan sebanyak RM3.1 juta (RM3,106,918) sejak dilancarkan dua bulan lepas.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam tempoh 66 hari (data setakat 30 November 2019), pihak Shopee telah mempamerkan 3,500 produk buatan Malaysia daripada pelbagai kategori melalui halaman koleksi barangan buatan Malaysia.

Menurutnya purata pesanan harian bagi barangan buatan tempatan yang dijual melalui halaman koleksi itu meningkat 280 peratus kepada RM47,074 (RM47,074.52) sehari berbanding RM12,381 sehari sebelum KBBM dilancarkan pada platform e-dagang itu.

"Pada 11 November lalu ketika berlangsungnya Shopee 11.11 Big Sale sahaja, urus niaga yang melibatkan produk buatan Malaysia telah mencatat jualan berjumlah kira-kira RM500,000 dalam sehari.

"Keberhasilan ini dicapai kerana kami sangat jelas mengenai strategi kami untuk memanfaatkan kerancakan urus niaga e-dagang menjelang tempoh akhir tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin menjelaskan, tujuan kempen berkenaan dilancarkan semula tahun ini untuk memastikan produk tempatan sentiasa menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna.

"Kami percaya sebilangan rakyat Malaysia yang masih tidak menyokong barangan yang dihasilkan di negara ini tidak menyedari bahawa negara kita juga menghasilkan pelbagai barangan yang berkualiti, tahan lama, mampu dimiliki dan bertaraf eksport.

"Antara beberapa jenama Malaysia yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuklah jenama seperti Old Town White Coffee, Munchy's, Getha, Khind dan banyak lagi," katanya.

Katanya, inisiatif Shopee meletakkan produk buatan Malaysia sebaris dan setaraf dengan nama-nama antarabangsa membantu kementerian untuk memperkenal dan mempromosikan produk buatan Malaysia.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan strategi kementerian untuk bekerjasama dengan platform e-dagang tepat.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat Malaysia untuk terus menyokong kempen tersebut dan layari halaman koleksi Buatan Malaysia di www.shopee.com/buatanmalaysia pada '12.12 Birthday Sale' ini untuk mendapatkan diskaun dan baucar istimewa untuk produk buatan Malaysia.

"Bagi penjual dan peniaga tempatan yang ingin memaparkan produk di halaman koleksi 'Shopee Buatan Malaysia', anda perlu mengisi borang yang boleh dimuat turun dari url: http://bit.ly/ShopeeKBBM.

“Kakitangan Shopee akan menghubungi untuk membantu anda dalam perkara itu,” katanya. - Bernama