MAHB: Tiada gangguan perkhidmatan komunikasi di KLIA

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEPANG - Kerja-kerja menaik taraf infrastruktur komunikasi yang dirancang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bermula pada 1 Januari, tidak menyebabkan sebarang gangguan perkhidmatan komunikasi di kedua-dua terminal, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

MAHB dalam satu kenyataan hari ini berkata proses menaik taraf itu berjalan lancar sejak ia dimulakan dan langkah-langkah mitigasi yang diambil semasa tempoh tersebut telah berjaya memastikan ketersediaan rangkaian selular dan talian pajakan dalam kawasan terminal penumpang dan kargo, kekal seperti biasa.

"Kami dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa, setakat ini, tidak ada sebarang aduan daripada semua pemegang kepentingan seperti orang awam, syarikat penerbangan, penyewa dan syarikat telekomunikasi mengenai sebarang gangguan perkhidmatan komunikasi di lapangan terbang,” kata syarikat itu.

Pengendali lapangan terbang itu pada 31 Disember, 2018 mengumumkan kerja-kerja menaik taraf komunikasi, yang akan dilakukan secara berfasa dalam tempoh tiga bulan, yang bertujuan menambah baik keseluruhan liputan dan kapasiti rangkaian selular di lapangan terbang tersebut serta menampung keperluan pendigitalan pada masa depan seperti inisiatif Lapangan Terbang 4.0, ekosistem e-dagang dan pembangunan Aeropolis.

Antara langkah-langkah mitigasi yang diambil termasuklah menyediakan telefon talian tetap di kaunter maklumat bagi kemudahan pengguna lapangan terbang, serta memastikan perkhidmatan WiFi Lapangan Terbang percuma mempunyai sambungan yang kukuh untuk membolehkan pengguna berkomunikasi menerusi panggilan datang melalui aplikasi mudah alih seperti WhatsApp dan Messenger.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan atau mahu menyediakan maklum balas boleh berbuat demikian menerusi emel di CARE@malaysiaairports.com.my atau menghubungi talian hotline di 03-8776 9006. - Bernama

Artikel Berkaitan: