Pemuda Amanah perlu elak sikap tuding jari

Setiausaha Pemuda Amanah Nasional, Muhamad Fadzil Ahamad. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
Setiausaha Pemuda Amanah Nasional, Muhamad Fadzil Ahamad. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sikap tunding jari dan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti perlu dikikis

Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) diingatkan agar tidak membudayakan sikap tuding jari bagi menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti, ekoran beberapa isu yang timbul sepanjang Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 yang berlangsung sejak semalam.

Setiausaha Pemuda Amanah Nasional, Muhamad Fadzil Ahamad berkata, sikap sebegitu perlu dielakkan kerana jawatankuasa konvensyen sebenarnya amat menitikberatkan kebajikan kesemua perwakilan yang hadir.

Menurutnya, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memastikan kelancaran konvensyen pada kali ini namun masih terdapat kelemahan dalam beberapa perkara termasuk berkait lokasi serta menu seperti dibangkitkan.

Beliau berkata, pemilihan Dewan Komuniti Batu Muda sebagai lokasi konvensyen pada kali ini adalah atas faktor kemudahan yang selesa, mudah diakses selain kos sewaan yang murah.

"Kita juga menyediakan senarai 30 inap desa bagi memudahkan urusan penginapan semua perwakilan yang hadir tapi malangnya maklumat ini mungkin tidak sampai kepada semua dan akhirnya timbul rungutan lokasi konvensyen jauh.

"Selain itu, saya tidak nafikan penukaran tarikh konvensyen yang sepatutnya berlangsung pada Oktober lalu juga turut memberi kesan sehingga menjejaskan segala program yang sudah dirancang awal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika rumusan keseluruhan sesi pembentangan dan pengesahan minit Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2018 sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beberapa perwakilan Pemuda Amanah yang hadir pada konvensyen hari ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan lokasi yang dianggap tidak strategik selain menu yang tidak memuaskan.

Dalam pada itu, Muhamad Fadzil yang juga Pengarah Konvensyen pada kali ini turut memohon maaf atas segala kelemahan yang berlaku sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada semua perwakilan yang hadir.

"Saya terima segala teguran secara positif dan akan buat 'post mortem' di peringkat kepimpinan bagi meneliti serta menambah baik penganjuran konvensyen pada masa akan datang.

"Saya juga berharap perwakilan juga dapat sama-sama bermuhasabah dan memanfaatkan konvensyen ini seolah-olah seperti perayaan untuk kita sama-sama berkumpul dan terus bersatu padu," katanya.