Sultan Johor adakan perbincangan wujudkan pusat kanser

Sultan Ibrahim - Foto fail Bernama
Sultan Ibrahim - Foto fail Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mengadakan perbincangan berhubung rancangan mewujudkan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor.

Menerusi catatan dan beberapa keping gambar yang dimuat naik dalam laman Facebook baginda, perbincangan terbabit dilakukan ketika baginda menerima kunjungan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Istana Pasir Pelangi, di sini.

“Pada hari ini, saya menerima kunjungan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Dibincangkan mengenai perancangan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor, yang bertumpu sepenuhnya kepada rawatan, penyelidikan dan pendidikan kanser,” titah baginda menerusi laman Facebook berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah wakil Asian American Medical Group (AAMG) yang menerajui projek itu, mengutarakan keperluan lebih ramai bilangan pakar kanser bagi memberikan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Baginda bertitah, pusat kanser itu dalam merealisasikan impian Almarhum Tunku Abdul Jalil yang sentiasa mahu membantu pesakit kanser.

Selain itu, menerusi catatan sama baginda bertitah, Dzulkefly turut menyampaikan perkembangan semasa mengenai kerja-kerja penambahbaikan Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Antaranya membabitkan pendawaian bangunan utama yang sudah berusia lebih 70 tahun yang perlu ditambah baik dan kerja-kerja itu akan dimulakan pada tahun hadapan.

Baginda bertitah, lokasi tragedi kebakaran Unit Rawatan Rapi HSA pada Oktober 2016 juga akan diperbaiki.

Artikel Berkaitan:

“Saya turut mencadangkan keperluan sebuah lagi hospital di Johor Bahru memandangkan berlaku peningkatan dari segi pesakit serta kesesakan di HSA pada masa sekarang.

"Saya mahukan perkhidmatan perubatan awam yang lebih baik untuk rakyat Johor,” titah baginda. - Bernama