Mangsa banjir Kuala Terengganu, Kuala Nerus meningkat

Keadaan banjir di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu yang dirakam pada 2 Disember. FOTO: Norhaspida Yatim
Keadaan banjir di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu yang dirakam pada 2 Disember. FOTO: Norhaspida Yatim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Limpahan air Sungai Nerus yang bertembung di lembangan Sungai Terengganu menyebabkan peningkatan jumlah mangsa banjir dari dua daerah melibatkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, keadaan yang berlaku menyebabkan peningkatan paras air dan penduduk di kawasan terlibat terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat.

"Paras air di dua daerah ini meningkat disebabkan penurunan air dari hulu sungai bertembung di lembangan Sungai Terengganu.

"Penduduk di kawasan terlibat dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) yang disediakan," katanya yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu.

Setakat ini, seramai 1,414 mangsa banjir masih ditempatkan di 19 PPS membabitkan empat daerah di negeri ini iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Dungun.

Kesemua mangsa banjir bagi tiga daerah lagi iaitu Besut, Setiu dan Hulu Terengganu telah dibenarkan pulang ke rumah.

Berdasarkan maklumat terkini bencana banjir di Terengganu yang disalurkan menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 10 pagi tadi, seramai 390 mangsa banjir dari 96 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Peradong, di sini (Kuala Terengganu).

Mangsa banjir di Kuala Nerus pula meningkat kepada 518 orang yang ditempatkan di enam PPS di daerah itu.

Artikel Berkaitan:

Jumlah mangsa banjir di Dungun pula mencatatkan seramai 192 orang dan Setiu seramai 194 orang.