Silat: Kegagalan Faizul tak beri kesan sasaran dua emas

Muhammad Faizul ketika beraksi menentang atlet silat Filipina, Dines Dumaan pada perlawanan Silat Tanding Kelas B sempena Sukan SEA Filipina 2019 di Subic Bay Convention Centre hari ini. - Foto Bernama
Muhammad Faizul ketika beraksi menentang atlet silat Filipina, Dines Dumaan pada perlawanan Silat Tanding Kelas B sempena Sukan SEA Filipina 2019 di Subic Bay Convention Centre hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KEGAGALAN pesilat elit negara, Muhammad Faizul M Nasir mempertahankan pingat emas kelas Putra B (50-55kg) tidak akan menjejaskan peluang Malaysia mencapai sasaran dua pingat emas pada Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Pengurus skuad pencak silat negara, Zaihan Mohd Isa menegaskan walaupun Muhammad Faizul tewas kepada pesilat tuan rumah, Dines Dumaan dengan keputusan 0-5 pada pusingan kedua, beliau percaya pesilat negara yang lain, mampu menebus kekecewaan berkenaan, berdasarkan latihan intensif yang dijalankan di pelbagai tempat, sebelum berlepas ke Filipina.

Kekalahan tersebut menyaksikan Muhammad Faizul gagal mempertahankan pingat emas, yang dimenangi pada edisi 2015 di Singapura dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Kita masih ada beberapa lagi pesilat yang akan berjuang dan kita jangan rasa tertekan.Yang penting, atlet kita perlu bersemangat dan menanam keazaman, dalam memburu (dua) pingat (emas) pada kali ini," katanya ketika ditemui Bernama pada hari kedua acara pencak silat di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zaihan menjelaskan Muhammad Faizul kini sedang berada di bawah pemantauan doktor pakar pusat perubatan The Medical City di Clark, susulan kecederaan serius di bahagian muka yang dialami pesilat berkenaan ketika berdepan Dumaan.

"Muhammad Faizul sebelum ini dikejarkan ke Hospital James L Gordon Memorial dan dipindahkan ke Baypointe Hospital and Medical Center, di sini, namun terpaksa dirujuk kepada doktor pakar The Medical City disebabkan dua hospital berkenaan kekurangan doktor pakar.

"Kita menyerahkan kepada pihak hospital untuk memberi rawatan terbaik kepada Muhammad Faizul dan saya difahamkan pegawai perubatan Institut Sukan Negara akan turut membantu sekiranya diperlukan, jelas Zaihan.

Kekecewaan Muhammad Faizul berjaya ditebus oleh Zulfakar Zulfazly yang menundukkan pesilat tuan rumah, Alvin Campos menerusi keputusan 4-1 dalam kelas Putra D (60-65kg).

Artikel Berkaitan:

Dua pesilat wanita negara, iaitu Nor Farah Mazlan dan Nur Syazerra Hidayah Idris, bagaimanapun gagal ke pusingan seterusnya, setelah kalah kepada lawan masing-masing.

Nor Farah tewas 1-4 kepada pesilat Vietnam, Pham Thi Tuoi dalam kelas Puteri A (45-50kg), manakala Nur Syazerra Hidayah kecundang dengan keputusan 0-5 kepada pesilat Indonesia, Kause Jeni Jeni dengan kelas Puteri B (50-55kg).

Untuk rekod, Malaysia sudah meraih satu emas dan satu gangsa, masing-masing menerusi kategori ganda putra dan regu putra pada hari pertama acara Pencak Silat semalam. - Bernama