Membaca bukan lagi hobi digemari murid

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Amin Senin menunjukkan Buku Laporan PISA 2018 pada sidang media Sesi Taklimat Media dan Pengumuman berkenaan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 di Kementerian Pendidikan Kompleks E Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Dr Amin Senin menunjukkan Buku Laporan PISA 2018 pada sidang media Sesi Taklimat Media dan Pengumuman berkenaan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 di Kementerian Pendidikan Kompleks E Putrajaya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan program Pentaksiran dan Kajian Perbandingan Antarabangsa (PISA) bagi kitaran ketiga mendedahkan aktiviti membaca bukan lagi hobi digemari murid sampel 2018 berbanding 2009.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berkata, dapatan PISA 2018 menunjukkan murid hanya membaca apabila terpaksa ataupun untuk tujuan tertentu sahaja.

"Bagi murid lelaki, graf PISA 2018 menunjukkan 40 peratus hanya membaca apabila perlu dan 77 peratus melakukan aktiviti itu untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan.

"Bagi murid perempuan, 25 peratus menyatakan hanya membaca buku apabila perlu dan 58 peratus akan membaca apabila perlu," katanya.

Seramai 6,111 murid daripada 191 sekolah terlibat dalam sampel murid bagi PISA 2018.

Program pentaksiran itu dianjurkan oleh Pertubuhan kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang berpusat di Paris, Perancis.

PISA mula diperkenalkan pada 2000 dan ditadbir setiap tiga tahun yang mana dalam setiap pusingan, satu domain wajib menjadi domain utama.

Bagi PISA 2018 dan PISA 2009, domain utama adalah literasi bacaan sekaligus menyebabkan semua perbandingan PISA 2018 dibandingkan dengan PISA 2009.

Artikel Berkaitan:

Menurut Amin, peratusan bahan yang dibaca oleh murid 15 tahun di negara ini menunjukkan pengurangan yang signifikan antara PISA 2018 dan PISA 2009.

"Tiga jenis bahan bacaan yang masih diminati adalah komik, buku fiksyen dan buku bukan fiksyen," katanya.

Beliau berkata, OECD melaporkan bahawa pengurangan dalam penggunaan bahan bercetak boleh dikaitkan dengan era digital iaitu akses kepada ruang bual (chats), pembacaan rencana dalam laman berita atau laman web yang menyediakan bahan bacaan dengan mudah.

Amin berkata, peratusan murid yang menyatakan kekerapan melakukan carian maklumat dalam talian adalah tinggi, malah hampir menyamai peratusan purata OECD.

"Lebih 80 peratus murid lelaki dan perempuan melaporkan bahawa mereka kerap mencari maklumat dalam talian untuk belajar tentang sesuatu topik’, mencari maklumat mengenai pengetahuan am dan membaca berita atas talian," katanya.

Menyentuh mengenai pencapaian keseluruhan beliau berkata, pencapaian Malaysia telah meningkat dengan signifikan dalam ketiga-tiga domain literasi iaitu bacaan, matematik dan saintifik.

"Malaysia mendapat 415 skor bagi literasi bacaan, 440 skor literasi matematik dan 438 bagi literasi saintifik," katanya.

Beliau berkata, skor tersebut menunjukkan negara semakin menghampiri purata OECD.

"Pencapaian itu juga menunjukkan Malaysia bukan lagi berada di satu pertiga ke bawah dalam kedudukan negara.

"Negara kita kini berada pada satu pertiga pertengahan," katanya.