MED dapat kelulusan bagi tambahan belanjawan tahun depan

Mohd Redzuan - Foto Bernama
Mohd Redzuan - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) mendapat kelulusan kerajaan bagi memperoleh tambahan belanjawan yang dicadangkan bagi tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, dana tambahan itu adalah sebanyak 15 hingga 20 peratus daripada bajet pembangunan MED bagi 2020.

Berdasarkan Belanjawan 2020 yang dibentangkan di Parlimen pada Oktober lepas, MED diperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM539 juta.

“Banyak pihak memberi maklum balas bahawa pentingnya MED mendapat belanja yang lebih untuk melaksanakan program menerusi agensi termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

“Jadi saya ada berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya ada sedikit pindaan (pada bajet) untuk melaksanakan program yang telah kita rancang dan perdana menteri telah bersetuju menambah sedikit tetapi bermakna bagi MED untuk kita salurkan kepada agensi-agensi mengikut merit pelaksanaan itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-20 TEKUN Nasional di sini hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: