Isu pertukaran SUK perlu rujuk Ketua Setiausaha Negara, JPA: MB Perak

Ahmad Faizal ketika ditemui pada sidang media hari ini.
Ahmad Faizal ketika ditemui pada sidang media hari ini.
A
A
A

IPOH - Isu pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Zainal Azman Abu Seman perlu dirujuk kepada Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa dalam sebarang penjawatan melibatkan anggota JPA.

"Sebagai menteri besar (peranan) lebih kepada negeri bukan soal perkhidmatan awam.

"Jadi persoalan isu itu perlu dituju kepada Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah JPA," katanya ringkas ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Kemahiran Malaysia 2.0 (SkillsMalaysia 2.0) di Institut Latihan Perindustrian Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertukaran Zainal Azman ke Jawatan Penempatan Khas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai 1 Disember 2019.

Pertukaran itu dianggap sebagai mengejutkan dan hanya diketahui umum selepas surat pertukaran berkenaan tular di media sosial sejak Ahad lalu.

Mengulas perkara itu, Ahmad Faizal mengesahkan pertukaran itu, namun tidak dapat dipastikan sama ada pertukaran itu dilakukan dalam tempoh 24 jam atau sebaliknya.

"Saya tidak tahu (perkara itu)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zainal Azman dilantik memegang jawatan itu pada 18 Oktober 2018 menggantikan Datuk Mohd Gazali Jalal yang bersara.