Kilang dadah ibu meletup, anak parah mungkin bisu

Keadaan Adams sebelum dan selepas kejadian letupan kilang dadah milik ibunya pada 2017.
A
A

DETROIT - Seorang remaja lelaki yang parah selepas makmal dadah milik ibunya meletup dan terbakar kini berdepan kemungkinan kehilangan suara buat selama-lamanya.

Dalam kejadian pada tahun 2017 itu, Brian Adams, 16, dari Detroit, Michigan, diberikan peluang hanya lima peratus untuk hidup dan menjalani pembedahan trakeotomi yang penting untuk membantu dia bernafas.

Akibat kejadian tersebut, ibunya Amanda Skardoutos dihukum penjara sekurang-kurangnya enam tahun.

Pakar bedah bagaimanapun telah memberi amaran kepada bapa dan penjaga Adams, Robert bahawa tisu parut boleh terbentuk pada bila-bila masa sekali gus bakal menyebabkan anaknya hilang keupayaan untuk bercakap selama-lamanya.

Robert kemudiannya berusaha mencari pakar yang boleh menyelamatkan suara Adams, namun prosedur akan menelan belanja sebanyak AS$170,000 (RM710,600) dan penanggung insurans keluarga enggan membayar jumlah tersebut.

"Satu-satunya keutamaan yang saya fokuskan sekarang adalah anak. Pada masa sama, bumbung di rumah saya bocor, siling dapur runtuh. Tetapi tiada satu pun yang penting melainkan Adams.

"Dia telah berjuang untuk hidup dan saya berhutang prosedur itu untuk menyelamatkannya," kata Robert.

Bagaimanapun, peluang remaja itu untuk pulih dilihat semakin cerah apabila dana yang digerakkan untuk membiayai pembedahannya sehingga kini berjaya mengumpul AS$134,000 (RM560,120). - Agensi