Demokrasi bukan hanya tugas kerajaan

A
A

DEFINISI demokrasi adalah umum kerana makna atau taksiran perkataan itu berbeza mengikut pandangan pihak yang melihatnya namun pokok pangkalnya secara khusus membawa maksud pemerintahan oleh rakyat atau wakil yang dipilih daripada proses pilihan raya.

Bukan itu sahaja, pembawaan takrifan demokrasi juga berbeza seperti diketahui umum dengan terdapat juga pihak mengatakan sistem kerajaan satu parti juga diertikan sebagai demokrasi, malah amalan kerajaan dua parti juga diketengahkan dalam andaian sama.Di Malaysia sendiri, pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan perubahan dimensi pemikiran rakyat yang mendambakan pembaharuan pelbagai aspek termasuklah institusi demokrasi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selaras Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, SPR merupakan satu badan yang menguruskan proses demokrasi pilihan raya bermula daripada sebelum, semasa dan selepas hari pengundian berlangsung sama ada di peringkat PRU mahupun Pilihan Raya Kecil (PRK) dan rakyat mahu melihat perubahan terhadapnya perlu direalisasikan segera.

Namun selepas tanggal 9 Mei 2018, masih terdapat dalam kalangan rakyat ternanti-nanti kemunculan reformasi institusi kerajaan termasuk SPR seperti yang dijanjikan dalam buku Manifesto PH iaitu menjadikan badan itu bebas dan lebih berkuasa dalam menjalankan perjalanan sistem demokrasi negara dengan adil dan saksama.

Hakikatnya, walaupun kerajaan kini sedang sedaya upaya melakukan pelbagai perubahan dalam amalan pilihan raya antaranya penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun, namun paling utama adalah kesediaan minda kita selaku rakyat untuk melaksanakan segala usaha yang dirancang.

Memetik kata-kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof iaitu: “Satu perkara paling mencabar pada masa kini ialah bagaimana untuk menukar budaya demokrasi dan kenyataan itu menyimpulkan bahawa minda rakyat termasuk pemimpin sendiri perlu berubah seiring reformasi yang mahu dilakukan.”Tidak mustahil masih wujud kenyataan dangkal pemimpin yang seolah-olah tidak memahami budaya demokrasi termasuklah memberikan alasan keletihan dan kesejukan untuk tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat walaupun mereka dipilih menerusi proses demokrasi pilihan raya.

Sewaktu penganjuran program Dialog Makan Malam bertajuk Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya: Masa Depan Demokrasi Berparlimen di Malaysia anjuran Akademi Kepimpinan dan Pengurusan (AKP) di Kuala Lumpur baru-baru ini, para panelis terlibat bersepakat menyatakan bahawa perubahan budaya dan minda itu adalah penting berbanding hanya mengejar kemajuan teknologi semata-mata.

Tegas Pengerusi Jawatankuasa Reform Dewan Negara, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang bangkit menyuarakan pandangan bahawa demokrasi mestilah datang daripada hati atau erti kata lain adalah perubahan minda. Kenyataan itu timbul susulan soalan seorang jemputan dalam program berkenaan yang mencadangkan agar proses pengundian pilihan raya dilakukan secara elektronik.

“Sama ada hendak pakai teknologi atau tidak, namun paling penting demokrasi mesti datang daripada hati kalau kita mahukan ia dijayakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Ironinya, walaupun terdapat dalam kalangan kita asyik bersembang mengenai isu politik sama ada di warung kopi atau di WhatsApp tanpa henti, masih wujud pihak yang tidak mengetahui langsung perjalanan pilihan raya di Malaysia.

Perkara itu diakui sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam program berkenaan. Abdul Rashid memberitahu persepsi itu ditemui sepanjang pihaknya menjalankan siri jelajah ke seluruh negara bagi mengumpul input pembaharuan pilihan raya.

“Saya dah jumpa ramai orang termasuk peguam sendiri, ramai tidak tahu undang-undang pilihan raya walaupun hakikatnya perkara ini penting kerana ia sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

“Tidak tahu mengapa perkara ini berlaku, mungkin disebabkan pilihan raya tidak memberi manfaat kepada mereka atau ia muncul sekali dalam lima tahun,” ujarnya.

Akhir sekali, walaupun pihak kerajaan seperti ERC dan SPR kini berusaha menambahbaik sistem pilihan raya, namun kejayaan proses demokrasi terletak kepada rakyat dan bukan terletak di bahu pemerintah semata-mata.

Pokok pangkalnya, kerajaan boleh bertukar selepas lima tahun, tetapi adakah minda rakyat yang lama dibelenggu boleh ditukar?

* Juani Munir Abu Bakar ialah wartawan Sinar Harian