Tabayyun, jangan panik Agong letak jawatan

Noor Azmi ketika ditemui media, hari ini.
Noor Azmi ketika ditemui media, hari ini.
A
A
A

BAGAN SERAI - Rakyat negara ini dinasihatkan mengamalkan pendekatan tabayyun dalam menilai sebarang spekulasi mengenai keputusan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa semalam.

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, rakyat juga diminta tidak panik mendengar pelbagai perkhabaran di media sosial dan lebih mempercayai dakwaan negatif bersabit keputusan tuanku.

Menurutnya, keputusan dibuat tuanku Sultan Muhammad V diyakini berasaskan alasan munasabah dan semua pihak perlu menghormati institusi diraja dengan tidak menyebarkan dakyah negatif.

"Saya juga yakin keputusan Majlis Raja-raja mengadakan mesyuarat khas dan melantik Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai pemangku Yang di-Pertuan Agong baharu adalah tepat.

"Justeru, rakyat dinasihatkan tabayyun iaitu selidik dan siasat dahulu kesahihan sesuatu berita disebarkan lebih-lebih lagi berita membabitkan institusi diraja agar rakyat tidak panik," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Noor Azmi berkata, keputusan mengejut dibuat Sultan Muhammad V tidak menjejaskan sistem pentadbiran negara.

Menurutnya, ketika ini proses pentadbiran kerajaan masih berjalan lancar dan semua pihak menjalankan peranan masing-masing tanpa sebarang gangguan.

"Sebagai rakyat sudah pasti kita mahukan sebuah negara yang mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan mengikut undang-undang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap keputusan peletakan jawatan Tuanku Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong tidak jadikan modal mana-mana pihak untuk menabur bibit keresahan dan kebimbangan rakyat terhadap kerajaan sedia ada menerusi platform media sosial," katanya.