Pendedahan pelbagai pertandingan rahsia kejayaan

Skuad polo negara berjaya mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut pada Sukan SEA Filipina 2019 di Filipina semalam.
Skuad polo negara berjaya mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut pada Sukan SEA Filipina 2019 di Filipina semalam.
A
A
A

MANILA - Pendedahan pemain polo negara dalam pelbagai kejohanan anjuran Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) menjadi faktor kejayaan Malaysia mempertahankan pingat emas acara polo buat kali ketiga berturut-turut pada Sukan SEA Filipina 2019 di Filipina, semalam.

Kemenangan dramatik dengan keputusan tujuh berbalas 5.5 ke atas Filipina di Padang Polo Miguel L. Romero di Batangas, dekat sini, bukan sahaja menyaksikan Malaysia kekal menguasai sukan berkenaan di peringkat ASEAN, malahan menebus kekalahan 5 berbalas 8.5 kepada pasukan tuan rumah itu pada aksi kedua pusingan awal Selasa lalu.

Pengurus pasukan, Datuk Mohamad Zekri Ibrahim yang dihubungi Bernama berkata, pasukan negara terpaksa bergelut untuk menyesuaikan diri dengan kuda-kuda yang dipinjam, memandangkan tuan rumah tidak membenarkan kuda luar dibawa masuk ke negara berkenaan.

"Kami tidak dapat menjalankan persediaan yang komprehensif dengan cuaca di Malaysia yang sedang mengalami musim hujan yang agak lama dan tidak menentu.

"Perlawanan yang mendebarkan dan pasukan negara. dilihat sebagai bukan pilihan berdasarkan kekuatan kuda. Namun sebaik pengadil memulakan perlawanan, pasukan negara mengatur perancangan awal dengan menyekat pergerakan pemain utama Filipina yang juga pemain yang mempunyai handikap tertinggi kejohanan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Zekri memuji barisan pemain negara yang diketuai Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Sulaiman yang menjadi tunjang kekuatan pasukan negara pada kali ini, selain beberapa pemain lain seperti Amran Selamat dan pemain muda, Mohamad Shariezal Baseri yang mengawal kubu negara daripada dibolosi pasukan tuan rumah.

"Kemenangan ini adalah kerana sikap yang tidak mahu mengaku kalah walaupun di atas kertas Malaysia sukar untuk mempertahankan pingat emas kerana tiada “horse power”," katanya.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjuarai acara polo pada tiga edisi terdahulu -- 2007 di Korat, Thailand dan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. - Bernama

Artikel Berkaitan: