X

Kindly register in order to view this article
!

DUN Johor lulus ADUN isytihar harta

Dr Sahruddin Jamal
A
A

ISKANDAR PUTERI - Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan harta masing-masing.

Usul itu dicadangkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan dibahas oleh empat ADUN terdiri daripada Ir Khairuddin A Rahim (PH-Senggarang), Dr Chong Fat Full (PH-Pemanis), Datuk Ir Hasni Mohamad (BN-Benut), R. Vidyananthan (BN-Kahang).

Usul itu kemudiannya dipersetujui oleh 39 wakil rakyat Pakatan Harapan, Barisan Nasional (16) dan Pas (1).

Dr Sahruddin ketika mengemukakan usul itu berkata, pengisytiharan itu perlu dibuat kerana ketika ini tiada undang-undang yang mewajibkan ADUN mengisytiharkan harta.

“Ketetapan yang dibuat oleh Dewan Negeri akan mengikat semua ADUN. Sekiranya ADUN tidak mematuhi ketetapan Dewan, mereka boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri,” katanya di hari terakhir Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Dr Sahruddin berkata, pengisytiharan itu harus melibatkan suami isteri anak-anak dan pemegang amanah dengan mengisi Borang Akuan Berkanun yang ditetapkan oleh Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat.

Borang Akuan Berkanun itu ialah Borang Pengisytiharan Harta, Pengisytiharan Harta Tambahan dan Pelupusan Harta.

Beliau berkata, borang itu perlu dihantar kepada Suhaizan dalam tempoh enam bulan sehingga 1 Jun 2020 dari tarikh usul dipersetujukan dan disalinkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sebelum ini, proses pengisytiharan harta sudah pun dibuat terhadap semua exco negeri sebagai mengikut langkah yang dilaksanakan kerajaan Pusat. - Bernama