Jambatan ketiga: Tunggu kajian pelaksanaan atasi kesesakan tambak

Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cadangan jambatan ketiga hanya akan diputuskan selepas kajian pelaksanaan disiapkan untuk mencari penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian itu akan turut menilai keupayaan masa kini Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) yang kini terpaksa menampung jumlah pelawat yang sangat tinggi.

“Kita setuju secara dasar kajian ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta. Skop perunding akan ditetapkan termasuk sama ada BSI dan KSAB ini dapat ditambah baik dalam keadaan sedia ada atau perlu dibina lain-lain kemudahan termasuk mungkin jambatan ketiga,” katanya.

“Saya dimaklumkan hampir 70 peratus pelawat ataupun pengunjung yang masuk keluar Malaysia ini datang melalui Tambak Johor. Ini kalau boleh saya katakan, pusat kemasukan yang paling sesak berbanding mana-mana tempat di dunia.

“Jadi sebab itu, satu kajian menyeluruh perlu diadakan untuk mengetahui apakah langkah-langkah ke hadapan yang boleh diambil oleh kerajaan untuk membolehkan trafik, dari segi kenderaan dan manusia yang melalui pintu masuk negara ini, berjalan licin dan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Keputusan Menangani Kesesakan Tambak Johor yang turut dihadiri pelbagai jabatan dan agensi kerajaan terlibat.

Menurutnya yang juga Ahlli Parlimen Pagoh, kajian pelaksanaan yang dijangka dimulakan pada tahun hadapan itu akan mengambil masa sembilan bulan untuk siap.

Sementara itu, merujuk kepada mesyuarat hari ini Muhyiddin berkata, jawatankuasa berkenaan bersetuju supaya cadangan laluan pejalan kaki berbumbung di Tambak Johor diteruskan sebagai langkah jangka pendek untuk atasi masalah kesesakan di tambak itu.

Artikel Berkaitan:

“Kos yang terlibat ialah RM30 juta tetapi kita belum dapat keputusan kerana kita perlu bincang antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga syarikat Plus Malaysia Bhd yang jadi syarikat konsesi lebuh raya di situ.

“Ia akan diperhalusi kerana dimaklumkan ramai pengguna pejalan kaki guna cara sedia ada yang mungkin dianggap berbahaya pada lalu lintas dan sebagainya. Ini kita ambil kira meskipun kerajaan sudah putuskan untuk adakan Projek Sistem Transit Rapid (RTS),” katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar, wakil kerajaan negeri serta ketua-ketua agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat. - Bernama