X

Kindly register in order to view this article
!

Tempoh banjir di Terengganu diramal lebih panjang

Situasi banjir di PPS Lubuk Periuk, Hulu Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Tempoh banjir di Terengganu kali ini diramal lebih panjang berbanding situasi bencana sama yang melanda sebelum ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang merupakan Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, ia berdasarkan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) yang meramalkan hujan lebat melanda beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu berterusan hingga Isnin ini.

Katanya, situasi kali ini agak berbeza berbanding bencana yang melanda sebelum ini yang biasanya mengambil masa selama tiga hari untuk pulih.

"Kalau ikutkan fasa banjir di Terengganu kali ini mungkin agak panjang di mana bencana yang berlaku mungkin berterusan dalam dua atau tiga hari lagi.

"Bagaimanapun kita akan maklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa serta untuk sentiasa mengemaskini situasi semasa banjir di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, hujan lebat berterusan menjadikan jumlah mangsa banjir yang mulanya berkurangan pagi tadi kembali bertambah kepada 1,928 di empat buah daerah di negeri ini.

Berdasarkan perkembangan semasa menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih banyak PPS dibuka sehingga jam 6 petang ini menjadikan jumlah keseluruhan pusat pemindahan banjir (PPS) sebanyak 55 buah berbanding 32 buah awal pagi tadi.

Daerah Besut masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,348 mangsa daripada 352 keluarga yang ditempatkan di 32 buah PPS di daerah itu.

Bilangan mangsa banjir di Daerah Dungun bertambah kepada 254 mangsa daripada 72 keluarga yang ditempatkan di tiga buah dewan orang ramai yang dijadikan PPS.

Daerah Hulu Terengganu pula mencatatkan jumlah mangsa banjir seramai 218 orang daripada 50 buah keluarga ditempatkan di 10 buah PPS.

Jumlah mangsa banjir di Setiu pula menunjukkan penurunan kepada seramai 108 mangsa daripada 44 buah keluarga yang ditempatkan di 10 buah PPS di daerah itu.

Keadaan banjir di kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.
Keadaan banjir di kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.