Taobao Store by Lumahgo kini dibuka di MyTown Cheras

Taobao Store by Lumahgo menawarkan diskaun kepada pengunjung sempena pembukaannya di MyTown Cheras semalam.
Taobao Store by Lumahgo menawarkan diskaun kepada pengunjung sempena pembukaannya di MyTown Cheras semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Alibaba Group merasmikan pembukaan Taobao Store by Lumahgo di pusat beli-belah MyTown Cheras di sini semalam.

Gedung terbesar di Malaysia seluas 464.5 meter persegi itu mempamerkan pelbagai produk jenama dari China dan tempatan.

Pengurus Pemasaran Tmall World Malaysia, Jess Lew berkata, Taobao sebelum ini adalah perkhidmatan pembelian atas talian menerusi aplikasi dan website yang kini boleh didapati di Taobao Store by Lumahgo.

“Pembeli yang berminat dengan sesuatu produk boleh melihat dan mencuba sebelum membelinya. Berbeza dengan pembelian secara atas talian sebelum ini, pembeli hanya dapat mengetahui sesuatu produk menerusi penerangan yang disediakan.

“Kaedah pembelian di kedai juga mudah kerana pelanggan boleh mengimbas QR kod dan produk boleh dibawa pulang secara terus atau memilih servis penghantaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lumahgo New Retail, Fabian Kong.

Jess berkata, pembukaan kedai yang menyediakan kira-kira 1,000 produk eksklusif dan komprehensif itu adalah sebagai penghargaan kepada pembeli tempatan.

“Ia bukan bersifat mengaut keuntungan kerana harga yang ditawarkan sama dengan harga atas talian.

Artikel Berkaitan:

“Pembayaran adalah secara terus melalui aplikasi atau pembeli boleh mendapatkan bantuan daripada kakitangan kedai untuk urusan pembayaran tunai,” katanya.

Sementara itu, Fabian berkata, pembukaan kedai berkenaan bertujuan meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan tempatan.

“Ia didorong oleh perkembangan teknologi dan trend yang kerap berubah. Kehadiran Taobao Store by Lumahgo sebagai langkah pengukuhan perniagaan yang akan ditambah baik dari masa ke masa.

“Pembeli boleh menikmati perkhidmatan sebelum dan selepas jualan, selain khidmat nasihat reka bentuk, pemasangan, pembayaran ansuran dan lain-lain,” katanya.

KAPSYEN:

Taobao Store by Lumahgo menawarkan diskaun kepada pengunjung sempena pembukaannya di MyTown Cheras semalam.

Jess (berdiri, empat dari kanan) dan Fabian (berdiri, lima dari kanan) bergambar bersama rakan strategik pada pelancaran pembukaan Taobao Store by Lumahgo di pusat beli-belah MyTown Cheras, Kuala Lumpur semalam.