Tindakan tegas buat pengkhianat Jalur Gemilang

A
A
A

SIAPA sahaja boleh mengecam bahawa bendera Malaysia, Jalur Gemilang mempunyai 14 bucu. Sejak dari sekolah sehingga kini, mata kita dipasak dan dapat mengenalpasti bahawa jika bucunya kurang sudah tentu satu kesilapan.

Isu yang masih hangat dan berlegar dalam cetusan masyarakat melibatkan kes memaparkan Jalur Gemilang dengan bintang lima bucu ketika perasmian Kejohanan Bola Keranjang kali ke-28. Bendera Malaysia dengan bintang lima bucu itu dipaparkan menerusi klip video bersama logo Westport ketika nyanyian lagu Negaraku.

Pelbagai reaksi yang dicetuskan oleh masyarakat yang dilihat sebagai 'polemik bersiri' yang telah ditentukan agendanya. Persoalannya kenapa tersilap? Kenapa mesti berbucu lima?

Jawapannya mudah. Memang disengajakan. Tidak mungkin penganjur membiarkan mana-mana kontraktor acara tanpa memantau dan mengesahkan produk yang akan disiarkan dalam mana-mana acara. Bukankah rehersal dibuat apabila melaksanakan acara atau event besar sebegitu? Kenapa tidak mengesan awal kesilapan bucu pada bintang berkenaan?

Sebenarnya disengajakan kerana ingin test water atau menduga. Juga ingin mencabar sejauh mana pihak berwajib menunjukkan reaksinya. Sejauh mana pihak berwajib berani mengambil tindakan kerana insiden melibatkan Jalur Gemilang di akhir-akhir ini kian mengundang kemarahan tetapi semuanya terlepas. Jawapannya mudah sahaja. Meminta maaf dan semuanya akan okey dan selesai.

Seolah-olah maaf sudah mampu mengubat segala kemelut dan kegusaran dan amarah. Memohon maaf sebenarnya bukan jalan penyelesaian sedangkan tindakan itu dianggap melampau dan melanggar tata susila serta tidak menghormati lambang dan simbol kebesaran negara.

Untuk rekod, dikatakan bahawa paparan bendera yang sama juga telah berlaku pada kejohanan lain. Begitu juga wujud pula segelintir pihak yang menukar jalur pada bendera dari waran putih kepada hitam dek kerana marah dengan isu tertentu.

Jelasnya, tindakan pihak berkenaan seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi dan menggores sebahagian besar masyarakat. Sesetengahnya menganggap tindakan berkenaan melampau, kurang ajar dan dianggap sebagai provokasi.

Artikel Berkaitan:

Kejahilan terhadap Jalur Gemilang bagi mereka yang mengaku warga Malaysia adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Perbuatan mengurangkan bucu pada Jalur Gemilang adalah satu pengkhianatan terhadap negara.

Ia bukan sekadar kedunguan atau kejahilan tetapi lebih kepada suatu pengkhianatan terancang terhadap nasionalisme kita. Juga tindakan berkenaan bermotifkan mencemar dan mempersendakan Jalur Gemilang di mata dunia dalam kejohanan antara bangsa.

Ada maksud

Jika perkara itu terus diremehkan, persoalan kedaulatan dan maruah negara akan terus tercalar. Persoalan itu juga berkait dengan perpaduan dan keselamatan negara sedangkan maksud jalur pada bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju sama dan arah yang sama dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

Gemilang pula bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian, Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara.

Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Manakala bintang bucu 14 berwarna kuning melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Pihak berwajib perlu bertindak profesional. Polis wajib membuat siasatan secara mendalam dan terperinci termasuk Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bagi membantu siasatan.

Siasatan juga perlu mengenal pasti syarikat tempatan yang dipercayai diberi tender untuk melaksanakan ‘digital message’ di skrin pada acara tersebut. Walaupun tindakan telah diambil dengan membatalkan kontrak syarikat berkenaan, itu tidak bermakna kes ditutup. Kes berkenaan perlu disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Rakyat mahukan tindakan tegas lebih berkesan bagi memastikan perkara yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang.

Rakyat tidak mahu lagi mendengar jawapan sekadar meminta maaf atau tunduk beramai-ramai telah dapat menyelesaikan segala kesalahan. Akhirnya si pesalah akan terlepas begitu sahaja dan tidak serik-serik memperlekeh pihak berwajib.

Tindakan setimpal dan konstruktif mampu menjadi pengajaran buat mereka yang melanggar undang undang-undang negara. Maruah pihak berwajib perlu dipelihara agar mereka bukan terus dipersendakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

* Profesor Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian MediaUniversiti Teknologi Mara (UiTM)