X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu redah air paras pinggang selamatkan anak OKU

A
A

TANAH MERAH - Seorang ibu bertarung nyawa meredah air banjir sedalam paras pinggang untuk menyelamatkan anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara petang semalam.

Azizah Muhammad, 45, dari Kampung Taman Seri Agung berkata, dia mengambil risiko berkenaan untuk menyelamatkan anaknya, Nor Alif Hakimi Norarizan, 11, yang menghidap cerebral palsy.

"Ketika itu air sudah naik pada paras lutut di dalam rumah manakala paras pinggang di luar rumah. Saya terpaksa mendukung anak yang tidak dapat itu meredah air paras pinggang sebelum menaiki kereta ke pusat pemindahan sementara di SK (Sekolah Kebangsaan) Sri Kelewek ini," katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara berkenaan di sini hari ini.

Azizah merupakan antara 39 mangsa banjir membabitkan sembilan keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara berkenaan selepas kediaman mereka dilanda banjir sejak semalam.

Katanya, beliau telah mengemas kelengkapan rumah sejak hujan lebat bermula tiga hari lepas dan memindahkan barangan penting ke sebuah rak yang dibina khas untuk musim banjir.

"Air mula masuk ke dalam rumah rumah pada kira-kira jam 4 pagi semalam dan kami empat beranak memutuskan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara kerana tidak mahu mengambil risiko," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir, Roslina Muhammad Arifin, 50, yang tinggal di kampung sama berkata, hampir setiap tahun dia sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan banjir.

Beliau berkata, Taman Seri Agung terletak di kawasan yang rendah dan berdekatan sungai justeru penduduk di kawasan itu merupakan antara yang terawal berpindah akibat banjir.

"Saya juga mempunyai anak OKU iaitu Alisya Nur Azirah, 9, yang mengalami sindrom down. Ketika berpindah air sudah mencecah paras pinggang.

"Setakat pagi tadi rumah kami masih dinaiki air dan saya berharap ia cepat surut kerana kami mahu pulang ke rumah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Zainuddin Mat Yusof berkata, pihaknya mula memindahkan mangsa banjir sejak malam semalam selepas beberapa kampung dinaiki air.

"Polis akan sentiasa membantu untuk memindahkan mangsa banjir walaupun ia berlaku pada waktu malam demi keselamatan penduduk.

“Saya nasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dinaiki air supaya membuat persiapan awal seperti menyimpan dokumen penting di tempat selamat,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!