Tiada kenaikan cukai untuk tanah empat hektar ke bawah

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Cukai bagi kediaman, tanah pertanian dan hasil hutan bagi tanah yang berkeluasan empat hektar ke bawah tidak akan dinaikkan sebaliknya kekal pada kadar yang sama sejak tahun 2007.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semakan dan kadar cukai tanah baharu yang akan berkuatkuasa bermula 1 Januari depan hanya melibatkan tanah berkeluasan lebih empat hektar.

Menurutnya, semakan kadar cukai tanah baharu dilaksanakan di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara 1965 melibatkan kira-kira 700,000 hak milik tanah di negeri dengan tumpuannya lebih kepada industri, perniagaan dan ladang-ladang besar.

"Mengambil kira kebajikan golongan berpendapatan rendah (B-40), cukai bagi kediaman dan yang melibatkan pekebun kecil atau pemilik tanah pertanian sama ada kelapa sawit, getah, teh, koko, dusun dan hasil hutan yang berkeluasan empat hektar ke bawah, masih menggunakan kadar cukai yang sama sejak tahun 2007," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbarnya selepas Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Surat Hak Milik Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Kampung Seri Mahkota di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Abdul Rahim Muda, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Pegawai Daerah Kuantan, Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah.

Wan Rosdy berkata, berdasarkan kadar cukai tanah baharu, kadar baharu bagi sektor industri ditetapkan RM5 bagi satu meter persegi berbanding hanya 25 sen yang dikenakan sejak 2007 atau selama tempoh 12 tahun yang lalu.

"Contohnya, sebuah syarikat yang beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng di sini memperoleh keuntungan kira-kira RM 4.4 bilion pada tahun 2017.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan kadar cukai sedia ada, nilai cukai dikutip untuk hasil kerajaan negeri hanya kira-kira RM 189,800 sahaja berbanding kadar cukai baharu sehingga kira-kira RM 3.7 juta," katanya.

Beliau berkata, walaupun kadar cukai tanah itu naik namun jumlahnya masih rendah jika dibandingkan dengan keuntungan diperoleh syarikat terbabit.

"Dengan pelaksanaan kadar baharu ini, kerajaan negeri menganggarkan kutipan cukai untuk tahun 2020 sebanyak RM617 juta tidak termasuk pengeluaran hak milik tanah baharu.

"Ia meningkat sebanyak RM425 juta atau kenaikan lebih 300 peratus berbanding kadar cukai tanah sedia ada hanya RM192 juta," katanya.

Katanya, hasil tambahan kerajaan negeri melalui kenaikan cukai ini akan digunakan kembali untuk menampung perbelanjaan bagi program-program pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat.

"Daripada jangkaan hasil yang bertambah menerusi pengenaan kadar cukai tanah yang baharu ini, sasaran hasil negeri kepada kira-kira RM943.23 juta atau hampir RM1 bilion mampu dicapai," katanya.