Kejayaan berpotensi cetus hasad dengki, fitnah: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor kepada Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan, Amirah Mursyidah Zainal Abidin pada Istiadat Konvokesyen Ke-12 Universiti Sultan Azlan Shah di Dewan Jubli Perak hari ini. FOTO: BERNAMA
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Tuanku Canselor kepada Graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan, Amirah Mursyidah Zainal Abidin pada Istiadat Konvokesyen Ke-12 Universiti Sultan Azlan Shah di Dewan Jubli Perak hari ini. FOTO: BERNAMA
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kejayaan berpotensi menyebabkan manusia mencetuskan berlakunya pelbagai perbuatan hasad dengki dan fitnah serta polemik perebutan kuasa yang mengheret kepada berlakunya krisis kepimpinan.

Titah baginda, kejayaan juga berpotensi menyebabkan manusia hilang fokus, mengundang rasa riak, sifat ego dan keengganan melakukan perubahan.

"Membina kejayaan adalah satu cabaran tetapi mengekalkan kejayaan merupakan cabaran yang lebih besar dan lebih mencabar.

"Kisah kehilangan fokus yang berlaku dalam kalangan tentera Islam semasa Perang Uhud hendaklah dijadikan teladan. Tentera berpanah Islam begitu cepat meninggalkan posisi di tempat yang strategik pada peringkat awal kemenangan kerana pengaruh nafsu untuk berebut harta rampasan perang.

"Perbuatan meninggalkan lokasi strategik di atas bukit telah membolehkan tentera Quraish berpatah balik dan melakukan serangan balas, mengakibatkan tentera Islam akhirnya ditewaskan. Oleh itu adalah penting untuk manusia tidak terlalu cepat kehilangan pedoman ketika merayakan kejayaan awal," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-12 di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar hari ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Exco Pendidikan, Sains,Teknologi dan Alam Sekitar, Dr Abdul Aziz Bari.

Titah Sultan Nazrin, USAS merupakan satu kisah kejayaan institusi yang dipengaruhi pemimpin berwawasan, semangat berpasukan, dedikasi dan komitmen kakitangan juga sokongan pemegang kepentingan dan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Justeru baginda mahu, semua pihak berkepentingan memikirkan dan mengolah falsafah yang lebih kontemporari dengan keadaan semasa, merekayasa pendekatan yang lebih relevan dengan keperluan semasa agar USAS tetap menjadi sebuah institusi pengajian pilihan dalam era kecerdasan buatan dan dalam era Industri Revolusi Keempat.

"Setelah mencapai usia 20 tahun kewujudannya, amatlah penting bagi USAS mengolah dan merangka pelan strategik untuk mengharungi perjalanan 20 tahun yang akan datang dengan mengenal pasti dan memberanikan diri menerokai wilayah baharu agar USAS terus berjaya mencipta kejayaan lebih gemilang.

"Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada para graduan atas kejayaan memenuhi keperluan yang melayakkan diri dianugerahkan ijazah dan diploma," kata baginda.

Pada istiadat kali ini, seramai 1,367 graduan dianugerahkan diploma dan ijazah iaitu dua anugerah ijazah doktor falsafah, graduan ijazah sarjana (45), ijazah sarjana muda (310) dan diploma (1,019).