Banjir di Terengganu semakin buruk

Anggota polis meninjau kediaman dinaiki air di Hulu Terengganu. FOTO: Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Anggota polis meninjau kediaman dinaiki air di Hulu Terengganu. FOTO: Polis Diraja Malaysia (PDRM)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di negeri ini semakin buruk dengan pertambahan bilangan mangsa sehingga jam 7 pagi ini mencecah 2,296 orang daripada 648 keluarga yang ditempatkan di 40 pusat pemindahan sementara (PPS) melibatkan empat daerah.

Jika petang semalam hanya Besut dan Setiu dilanda banjir, kini dua lagi daerah iaitu Dungun dan Hulu Terengganu turut dinaiki air sejak malam tadi.

Besut yang merupakan daerah terawal dilanda banjir mencatatkan bilangan mangsa tertinggi iaitu seramai 1,110 mangsa daripada 279 keluarga yang ditempatkan di 21 buah PPS di daerah itu.

Manakala Setiu pula merekodkan seramai 553 mangsa dari 189 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

Di Dungun pula seramai 483 mangsa dari 134 keluarga ditempatkan di empat buah pusat pemindahan dan di Hulu Terengganu terdapat 112 mangsa dari 35 buah keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan yang dibuka malam tadi.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, keadaan banjir yang melanda sejak semalam melibatkan fasa ketiga bencana banjir dan penduduk di kawasan yang berisiko dinaiki air diminta terus berjaga-jaga.

“Kita nasihatkan semua penduduk di kawasan berisiko banjir dan kawasan rendah terutama di kawasan berhampiran sungai supaya lebih berjaga-jaga dan berpindah awal di pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Pihak keselamatan akan sentiasa memantau keadaan paras air sungai dan sentiasa menyalurkan maklumat terkini mengenai perkembangan semasa banjir di negeri ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan jalan yang dinaiki air di Setiu. FOTO: Angkatan Pertahanan Awam (APM)
Keadaan jalan yang dinaiki air di Setiu. FOTO: Angkatan Pertahanan Awam (APM)

Sementara itu, portalINFOBANJIR sehingga jam 7 lagi ini melaporkan paras air di lima sungai di negeri ini telah melebihi paras merbahaya.

Sungai Besut di Kampung La (23.63m), Sungai Nerus di Kampung Langkap (21.57m), Sungai Dungun di Kuala Jengai (22.41m), Sungai Berang di Kampung Menerong, Hulu Terengganu (24.65m) dan aras air di jambatan Permaisuri, Setiu berada pada paras 8.97m iaitu melebihi paras amaran.

Aras air bagi Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja mencatatkan bacaan 36.69m, Sungai Telemong di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu berada pada paras 19.58m dan Sungai Besut di Jambatan Jerteh, Besut pada paras 7.9m melebihi paras amaran.

Manakala dua lagi sungai iaitu Sungai Setiu di Kampung Besut dan Sungai Kemaman di Air Putih mencatatkan bacaan pada paras 16.92m dan 12.89m iaitu pada tahap waspada.

Dalam perkembangan sama, dua jalan di Setiu ditutup bagi semua jenis kenderaan iaitu Jalan Kampung Bukit Alur/Alir Lik di Kampung Bukit dan pengguna disarankan menggunakan jalan alternatif dari Kampung Tayor ke Kampung Bukit.

Sementara itu, jalan Pengkalan Merbau/Pelong di Kampung Mak Bakas juga ditutup bagi semua jenis kenderaan.