Mohd Shafie manfaatkan lokasi geografi Sabah

Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memulakan langkah pertama misi perdagangan ke Jepun hari ini dengan menyampaikan ucapan kepada kira-kira 200 pelabur dan ahli perniagaan dari 140 syarikat di Kobe, Jepun.

Dalam ucaptama pada seminar perniagaan di Kobe itu, beliau meluangkan masa kira-kira tiga jam bagi berkongsi pelbagai peluang pelaburan dan potensi perniagaan di Sabah kerana lokasinya yang strategik sebagai pintu masuk untuk Jepun memperluas perdagangan mereka ke negara ASEAN.

Jabatan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, dalam ucapannya, Mohd Shafie memberi penekanan mengenai kedudukan Sabah di laluan perkapalan Selat Lombok-Makassar yang semakin mendapat perhatian sekali gus sesuai sebagai hab logistik bagi rantau ini.

Menurut Ketua Menteri itu, syarikat-syarikat di Jepun perlu merebut peluang daripada kemudahan pelaburan baharu di Kluster Industri Minyak Sawit, Lahad Datu yang terletak di laluan perdagangan Selat Lombok-Makassar.

Beliau turut berkongsi kekayaan sumber asli Sabah yang menjanjikan potensi cerah dalam industri minyak dan gas, industri halal, akuakultur, perikanan, rumpai laut dan perabot kayu.

Sabah yang memiliki 1.5 juta hektar sawit, menghasilkan enam juta tan minyak sawit mentah dan 30 juta tan minyak isirung sawit mentah setahun dalam industri biojisim yang terkenal di Jepun, katanya.

Semasa sesi soal jawab, Mohd Shafie memberi jaminan bahawa kerajaan Sabah akan menyediakan akses mudah kepada mana-mana syarikat Jepun yang mahu melabur di negeri itu dan mengurangkan karenah birokrasi dengan syarat permohonan itu mematuhi prosedur operasi standard.

“Sabah merupakan lokasi utama kepada para pelabur kerana ia lokasi strategik untuk industri halal, penggabungan kargo halal dan pengagihan semula aktiviti dan mempunyai banyak sumber seperti minyak sawit, akuakultur, perikanan, rumpai laut selain produk sampingan lain dari minyak sawit dan bio-penapisan di Sabah dan kawasan BIMP-EAGA yang lebih luas,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, industri perabot merupakan satu lagi bidang yang mahu dikembangkan potensinya oleh negeri itu.

“Kami telah melarang eksport balak bulat untuk menyokong pertumbuhan industri perabot. Sabah mempunyai beberapa hutan hujan tertua di dunia dan industri perkayuan sedang dibangunkan secara mampan mengikut piawaian global,” kata Mohd Shafie. - Bernama