Polis bantuan perlu jaga imej PDRM: KP Pulau Pinang

Jaseni dan Narenasagaran merasmikan kenderaan baharu pasukan Polis Bantuan PBAHB.
Jaseni dan Narenasagaran merasmikan kenderaan baharu pasukan Polis Bantuan PBAHB.
A
A
A

KEPALA BATAS - Pegawai dan anggota polis bantuan perlu mempunyai disiplin tinggi dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti selain menjaga imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, mereka juga perlu mempunyai pengetahuan undang-undang dalam menjalankan tugas dan mengelak diri daripada terjebak dengan sebarang salah laku seperti penyalahgunaan luasa, rasuah, menagih dadah dan maksiat.

Menurutnya, perbuatan berkenaan hanya akan menjejaskan kredibiliti dan imej PDRM sebagai pasukan yang diyakini dan dipercayai masyarakat.

"Polis bantuan boleh menjadi rakan yang rapat kepada PDRM untuk menyalurkan segala maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah.

"Dengan gandingan yang baik antara pasukan polis bantuan dan PDRM akan menghasilkan jaringan keselamatan yang lebih luas dan penugasan kepolisan di negeri ini akan menjadi lebih cekap dan mantap," katanya ketika berucap pada majlis pemakaian pangkat anggota polis bantuan Perbadanan Bekalan Air (PBA) Holding Berhad di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Ekselutif PBA Holding Bhd, Datuk Ir Jaseni Maidinsa dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner Zundin Mahmood.

Pada majlis berkenaan, seorang pegawai dinaikkan pangkat Asisten Superintenden dan tiga konstabel dinaikkan pangkat sebagai koperal dan pelantikan 44 anggota baharu yang telah berjaya menamatkan latihan asas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) baru-baru ini.

Sementara itu Jaseni berkata, polis bantuan PBAHB mula ditubuhkan dengan hanya 11 anggota dan kini pasukan itu mempunyai 138 anggota yang diketuai seorang pegawai berpangkat Asisten Superintendan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sepanjang penugasan yang dilakukan mereka, tiada sebarang kes jenayah atau insiden besar yang berlaku di kawasan empangan awam di negeri ini malah tiada isu keselamatan serius dilaporkan di Terusan Sungai Dua, loji rawatan air, stesen pam, kompleks operasi sehenti mahupun unit khidmat pelanggan.

"Antara kejayaan yang pernah dicapai oleh pasukan kami iaitu dapat mencegah kecurian besi sekerap di Loji Rawatan Air Sungai Dua dan membantu pasukan PDRM menangkap tiga suspek yang menceroboh kawasan Empangan Mengkuang.

"Anggota polis bantuan PBAHB juga pernah mematahkan percubaan untuk mencuri pokok gaharu yang berlaku di kawasan Empangan Air Itam sebelum ini," katanya.