X

Kindly register in order to view this article
!

Jerman rancang haramkan aktiviti Hezbollah

Hezbollah -Foto AFP
A
A

BERLIN - Kerajaan Jerman merancang untuk mengharamkan sepenuhnya semua aktiviti kumpulan Hezbollah yang berasal dari Lubnan di negara itu selepas hanya mengharamkan sayap tenteranya sebelum ini, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik majalah berita berpangkalan di Hamburg, Der Spiegel semalam.

Majalah itu, yang memetik kenyataan pegawai kerajaan, Berlin merancang untuk mengharamkan cabang politik kumpulan tersebut daripada beroperasi di Jerman susulan satu persetujuan yang dicapai minggu lepas antara Kementerian Luar, Kementerian Kehakiman dan Kementerian Dalam Negeri.

Satu keputusan muktamad dijangka dibuat seawal minggu depan pada persidangan menteri-menteri dalam negeri Jerman.

Akibatnya, anggota dan aktiviti Hezbollah di Jerman akan dilayan seperti kumpulan pengganas iaitu Parti Pekerja-Pekerja Kurdistan (PKK) atau Daesh.

Di Lubnan, Hezbollah diiktiraf sebagai sebuah parti politik utama dan memainkan peranan penting dalam struktur kuasa yang kompleks di negara itu.

Kesatuan Eropah (EU) hanya mengharamkan sayap tentera Hezbollah, jadi kumpulan itu masih dibenarkan melakukan “usaha-usaha politik.”

Pengharaman sepenuhnya kumpulan itu di seluruh EU gagal di Brussels terutama selepas ditentang oleh Perancis.

Hasilnya, Menteri Luar Jerman, Heiko Maas telah menggesa agar Hezbollah diharamkan di bawah Akta Persatuan negara itu.

Menurut laporan Der Spiegel, Menteri Kehakiman telah memberi kuasa kepada Pejabat Pendakwa Raya Persekutuan pada September untuk melancarkan siasatan ke atas aktiviti Hezbollah di Jerman tanpa perlu mendapatkan keizinannya terlebih dahulu.

Desakan agar Hezbollah diharamkan sepenuhnya semakin meningkat sejak kebelakangan ini, terutama oleh Duta Amerika Syarikat ke Jerman Richard Grenell, yang telah meningkatkan tekanan ke atas Berlin menerusi Twitter. - Bernama