Emery tidak tunduk desakan letak jawatan

Emery -Foto AFP
Emery -Foto AFP
A
A
A

PENGENDALI Arsenal, Unai Emery tidak akan tunduk dengan desakan segelintir penyokong The Gunners yang mahukan dia meletak jawatan selepas tewas 1-2 kepada Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa, awal pagi tadi.

Menurutnya, apa yang menjadi tumpuan utamanya ketika ini adalah untuk mengembalikan semula rentak kemenangan pasukan itu dalam perlawanan akan datang.

"Yang saya fikirkan pertama kali (selepas tewas kepada Frankfurt) adalah menganalisis pertandingan selama 90 minit itu. Hari ini kami tampil lebih baik, tapi itu tidak cukup untuk memberikan kemenangan.

"Saya memikirkan perlawanan seterusnya dengan menilai perlawanan terdahulu dan cuba mencari cara untuk memperbaiki permainan dan meningkatkan semula moral pemain," katanya.

Dalam perlawanan di Stadium Emirates itu, dua gol pemain tengah Frankfurt, Daichi Kamada pada minit ke-55 dan ke-64 memadam kelebihan awal The Gunners melalui jaringan Pierre Emerick Aubameyang pada penghujung babak pertama.

Kekalahan itu menyaksikan masa depan Emery kembali dipersoalkan selepas masih gagal membawa impak positif dengan tiada kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir.

Penyokong kelab London Utara itu juga sudah kembali melaungkan 'Emery Out' selain bekas pengendali Paris Saint Germain (PSG) itu dikecam teruk oleh pengkritik bola sepak ekoran persembahan hambar Arsenal.

Dalam pada itu, Emery mengakui moral pemainnya tidak berada pada tahap terbaik ketika ini dan dia berhadapan tugas sukar untuk mengembalikan semangat pemain bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Moral pemain tidak menentu ketika ini, tetapi saya percaya jika kami beraksi seperti pada separuh masa pertama dalam perlawanan tadi, kami berada pada rentak yang betul.

"Namun pekerjaan saya sekarang adalah pertama, menganalisis pertandingan dan melihat peluang kami di Liga Europa. Saya percaya kita masih ada peluang untuk layak ke peringkat seterusnya," katanya.

Arsenal akan menghadapi Norwich City di Carrow Road dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.