Ahli Parlimen India gelar pembunuh Mahatma Gandhi 'patriot'

Pragya Thakur
Pragya Thakur
A
A
A

NEW DELHI - Seorang Ahli Parlimen kontroversi parti pemerintah India digugurkan daripada panel Parlimen selepas menggelar pembunuh Mahatma Gandhi sebagai 'patriot'.

Parti Bharatiya Janata (BJP) mengecam kenyataan Pragya Thakur yang mencetuskan kemarahan ramai.

Thakur menggelar Nathuram Godse sebagai 'deshbhakt' yang bermaksud patriot dalam bahasa Hindi ketika satu sesi perbincangan di Dewan Rakyat.

Ini merupakan kali kedua Thakur menggelar Godse sebagai patriot, kali pertama wanita itu berbuat demikian adalah pada Mei lalu.

Godse yang menembak dada Gandhi sebanyak tiga kali pada jarak dekat pada 30 Januari 1948 merupakan seorang aktivis kumpulan sayap kanan nasionalis.

Terdahulu, Thakur turut dituduh terlibat dalam insiden letupan yang meragut enam nyawa dan mencederakan 100 yang lain pada tahun 2008.

Beliau bagaimanapun menafikan segala tuduhan dan kini dibebaskan dengan ikat jamin.

Parti BJP dan kerajaan memutuskan untuk menjauhkan diri daripada kenyataan kontroversi tersebut dan terdapat gesaan agar Thakur dipecat daripada Parti BJP.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengecam sebarang falsafah yang menggambarkan Nathuram Godse sebagai patriot," kata Menteri Pertahanan, Rajnath Singh sambil menambah falsafah Gandhi masih relevan sehingga ke hari ini. - Agensi