AS undang kemarahan China

Penunjuk perasaan antikerajaan mahu Trump 'membebaskan' Hong Kong. - Foto Rex
Penunjuk perasaan antikerajaan mahu Trump 'membebaskan' Hong Kong. - Foto Rex
A
A
A

HONG KONG - China mengugut untuk bertindak balas selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menandatangi undang-undang menyokong penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong.

Trump semalam menandatangani Akta Hak Asasi dan Demokrasi Hong Kong itu susulan tekanan hebat Kongres yang turut meraih sokongan bipartisan.

Menerusi satu kenyataan, Trump menzahirkan rasa hormat terhadap Presiden Xi Jinping dan berharap pemimpin serta wakil kedua-dua pihak bertelagah dapat menyelesaikan perbezaan dengan cara baik.

Trump pada awalnya 'menyokong' penunjuk perasaan, namun kemudian menekankan hubungan erat beliau dengan Jinping dan usaha menjayakan resolusi perang perdagangan yang lama tertangguh.

Beijing yang berang dengan situasi itu memanggil duta AS dan menegaskan bersedia mengambil tindakan tegas selain memberi amaran kepada Washington tidak melaksanakan undang-undang itu.

"Situasi ini amat dahsyat dan jelas menampakkan niat jahat," kata Kementerian Luar China sambil menggesa AS segera membetulkan kesilapannya.

Sementara itu, kerajaan Hong Kong berasa kesal selepas Trump menandatangani undang-undang yang menetapkan keperluan semakan tahunan berhubung status ekonomi khas hab kewangan Asia itu dan mengancam untuk membatalkannya sekiranya kebebasan terancam selain larangan penjualan peralatan menangani rusuhan seperti gas pemedih mata.

"Kedua-dua akta terbabit jelas mencampuri hal ehwal dalaman Hong Kong," kata kerajaan sambil menegaskan langkah tersebut akan memberi mesej yang salah kepada penunjuk perasaan.

Artikel Berkaitan:

Pejabat perhubungan Beijing di Hong Kong turut mengecam tindakan Washington dan berkata ia hanya akan memburukkan keadaan. - AFP