X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah belum putuskan naik tarif air

Zamri (lima dari kanan) bersama peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong di Kampung Berjaya, Alor Setar hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Kedah belum memutuskan untuk menaikkan kadar tarif air di negeri itu pada tahun hadapan.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga, Datuk Zamri Yusuf berkata, kerajaan negeri telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membolehkan kadar tarif air sedia ada dikekalkan tanpa merugikan syarikat operator air mahupun menjejaskan perkhidmatan bekalan air kepada pengguna.

Menurutnya, sebelum ini SPAN telah meminta Kedah untuk menyemak semula kadar tarif air yang berada pada bawah kos operasi sebenar yang mana tarif air di Kedah masih rendah dibandingkan negeri lain.

"SPAN telah kemukakan pandangan mereka dan kita sudah berikan pandangan balas untuk kekalkan tarif sedia ada,” katanya pada sidang media selepas Program Hari Sungai dan Komuniti di Kampung Berjaya hari ini.

Zamri berkata, pihaknya sudah mengemukakan pilihan serta cadangan bersesuaian kepada SPAN bagi menambah baik perkhidmatan dan pada masa sama tidak merugikan operator air iaitu Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Rundingan masih berjalan, SPAN akan kembali dan bentangkan semula cadangan sewajarnya untuk kita ambil kira selepas menyemak hujah dan pandangan kerajaan negeri.

"Sejak awal, kita menolak naikkan tarif dan yakin ada ruang untuk opsyen lain,” katanya.

Menurutnya, sekiranya pilihan untuk tidak menaikkan kadar tarif boleh dilaksanakan tanpa merugikan mana-mana pihak, sudah pasti ia menjadi pilihan kerajaan negeri kerana tidak mahu membebankan rakyat.

“Dalam kajian itu, ada ruang untuk operator air tidak rugi dalam bisnes ini, jadi jika ada ruang itu, tidak perlulah naikkan tarif. Kita tidak mahu bebankan pengguna kerana masih terdapat kawasan mengalami gangguan tekanan air rendah,” katanya.

Zamri berkata, secara purata, setiap penduduk di Kedah hanya perlu membayar 20 sen seorang sehari bagi memperoleh bekalan air.

“Untuk atasi masalah tekanan air rendah, kita cadangkan pegawai SADA dan kakitangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri untuk bersama mengenal pasti secara spesifik kawasan terjejas,” katanya.

Menurutnya, ia antara sebahagian daripada formula baharu untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik bagi mengatasi gangguan bekalan air, yang bakal dilaksanakan bawah Bajet 2020.

“Kawasan kurang tekanan air sebelum ini sekitar 50,000 dicampur akaun baru sebanyak 20,000. Selepas kita lakukan beberapa penyambungan dan atasi masalah berkenaan, hanya sekitar 10,000 hingga 15,000 masih bertekanan rendah di seluruh negeri,” katanya.

Pada 10 Oktober lalu, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) Air yang dijangka dilaksanakan tahun depan tidak akan membebankan isi rumah berpendapatan rendah.

Pelaksanaan TSM mencadangkan pelarasan tarif minimum membabitkan kenaikan antara 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter, lebih rendah berbanding bayaran utiliti lain seperti elektrik, gas dan telekomunikasi.

Ia susulan pengumuman Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar sebelum itu berkaitan kadar baharu tarif air bagi semua negeri kemungkinan diumumkan hujung tahun ini.