JPJ kutip lebih RM1 juta fi permohonan guna cermin gelap

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak RM1.165 juta dikutip Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hasil bayaran fi permohonan penggunaan cermin gelap sehingga kini (November) melibatkan 413 permohonan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, permohonan itu merangkumi faktor keselamatan, kesihatan dan orang yang dikecualikan daripada pemakaian kaedah 11(a) Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Penggunaan Kaca atau Bahan Lutsinar Lain) (Pindaan) 2019.

“Bagi permohonan atas faktor keselamatan, JPJ mengenakan fi perkhidmatan sebanyak RM50. Setiap permohonan yang diluluskan akan dikenakan fi sebanyak RM5,000 untuk tempoh dua tahun yang perlu diperbaharui apabila tamat tempoh sah laku.

“Bagi faktor kesihatan pula, pemohon dikecualikan fi perkhidmatan dan fi kelulusan. Pemohon perlu mematuhi syarat dengan perakuan doktor pakar hospital kerajaan atau swasta yang diperakukan Kementerian Kesihatan,” katanya pada sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kamaruddin berkata, antara syarat permohonan pemasangan cermin gelap atas faktor keselamatan ialah pemohon tidak mempunyai sebarang kes yang belum selesai dengan JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tidak pernah terlibat dengan kes jenayah.

Kepada soalan tambahan Wong yang ingin tahu kaedah kelulusan permohonan, Kamaruddin berkata, pihak kementerian tidak mencampuri urusan itu kerana proses dilaksanakan satu jawatankuasa khas diketuai JPJ. - Bernama

Artikel Berkaitan: