Sabah giat cari pemain perkuat pasukan Liga Super

Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa)
Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa)
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Sabah (Safa) sedang giat mencari pemain bagi memperkuatkan lagi skuad Sabah dalam saingan Liga Super tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, misi pencarian pemain berkenaan berhadapan sedikit kesukaran disebabkan beberapa faktor termasuk harga yang diletakkan oleh pemain yang disasarkan terlalu tinggi.

“Para pemain profesional yang ada di negara ini atau di luar negara sememangnya mempunyai harga yang amat tinggi sekali. Terdapat permintaan gaji sebanyak AS$35,000 (RM146,387) sebulan dan ada juga yang meminta sehingga AS$50,000 (RM209,125) sebulan.

“Kita akan mencari pemain mengikut kemampuan kewangan yang kita ada dan saya yakin kita mampu membentuk satu pasukan yang baik kerana kita mempunyai sokongan daripada pelbagai pihak yang telah memberi penajaan,” katanya selepas Makan Malam Amal dan Kutipan Sumbangan Tabung Safa untuk 2019/2020 di sini malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu, Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Terdahulu, Mohd Shafie dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada skuad Sabah yang berjaya merangkul juara Liga Premier 2019 dan yakin pasukan Sabah akan terus menempa kejayaan sekiranya ada pengurusan yang baik di bawah kepimpinan Peter. - Bernama

Artikel Berkaitan: