Transformasi Seabad Koperasi Negara

Abdul Fattah Abdullah
Abdul Fattah Abdullah
A
A
A

PETALING JAYA - Jika manusia, di usia hampir 100 tahun mungkin sudah terlalu uzur dan dalam istilah lain, hanya menanti waktu tamatnya riwayat hidup.

Namun bagi gerakan koperasi negara, tempoh seabad ini menjadi paksi untuk terus berdiri gah dan berkembang dalam memberikan manfaat terhadap sosio ekonomi masyarakat, khususnya dalam kalangan anggota.

Kurang tiga tahun lagi, penubuhan gerakan koperasi negara ini yang sebahagian besarnya bernaung di bawah Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) selaku badan puncak gerakan koperasi negara akan mencapai usia 100 tahun.

Dalam tempoh itu, koperasi mengalami transformasi yang seiring dengan keperluan semasa dalam mencapai objektif ekonomi dan sosial.

Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, koperasi yang wujud sejak 1922, berkembang secara organik dekad demi dekad dan terlibat dalam aktiviti perniagaan yang pelbagai seiring dengan permintaan dan keperluan masyarakat serta perubahan teknologi.

“Bermula dengan hanya 11 koperasi dan 825 orang ahli, kini terdapat 14, 417 koperasi yang berdaftar dibawah Akta Koperasi dengan lebih dari 6 juta anggota di seluruh Malaysia.

“Sumbangan keluaran dalam negara kasar (KDNK) koperasi pada 2018 ialah RM40.3 bilion berbanding perolehan sebanyak RM34.95 bilion pada 2014, manakala aset koperasi pula meningkat daripada RM116.79 bilion kepada RM143.7 bilion.

“Peningkatan yang ketara ini menunjukkan gerakan koperasi negara semakin berkembang dan kekal relevan merentasi zaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Abdul Fattah berkata, bagaimanapun sumbangan koperasi tidak boleh sekadar dilihat daripada segi sumbangan kepada perolehan negara, sebaliknya penglibatan ahli dan peranan yang dimainkan bagi perolehan manfaat langsung serta tidak langsung.

“Sepanjang 100 tahun penubuhan koperasi di negara ini, koperasi telah memainkan peranan yang amat besar dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat.

“Ini kerana koperasi tidak meletakkan keuntungan sebagai matlamat utama semata-mata sebaliknya memberikan manfaat kepada anggota menerusi pelbagai faedah kerana koperasi merupakan milikan bersama anggota.

“Koperasi juga berjaya menyatupadukan bangsa kerana dalam koperasi kita tidak boleh bezakan orang berdasarkan ideologi politik, jantina, agama, bangsa,” katanya.

No Image Caption

Rangka pelan strategik

Dalam berdepan cabaran mencapai sasaran KDNK 2030 sebanyak RM60 Bilion, ANGKASA mengatur langkah dengan turut merangka Pelan Strategik sehingga 2050.

Antara lain, Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (KOPSYA) turut ditubuhkan pada tahun 2011 bagi membantu mengurus pembiayaan perniagaan milik koperasi.

Pada masa sama, Abdul Fattah berkata, koperasi berperanan sebagai penyumbang kepada keperluan sosial daripada segi mewujudkan peluang pekerjaan dan menyediakan pengalaman ‘hands on’ dalam bidang keusahawanan.

“Pada 2013, ANGKASA juga mewujudkan program ‘100 Product Champion’ sebagai inisiatif meningkatkan kualiti produk koperasi melalui kaedah mendapatkan sijil berkaitan seperti GMP dan Halal serta memperbaiki mutu bungkusan dan pelabelan supaya capai piawaian pasaran antarabangsa.

“62 Produk berjaya dibangunkan dibawah Projek Khas Produk 100 Champion daripada 23 koperasi dan 46 produk lagi sedang dibangunkan,” katanya.

Strategi jangka panjang

Berdepan peningkatan kos sara hidup, ANGKASA tidak terkecuali dalam merangka inisiatif bagi memberi manfaat secara langsung kepada 6 juta anggota koperasi menerusi Program Barang Asas 100 (BA100).

Abdul Fattah berkata, pengenalan program berasaskan sistem pembelian dalam talian itu sejajar dengan salah satu Teras Strategik Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) iaitu pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara.

Ia juga katanya, bagi menyambut saranan dari Majlis Penasihat Kerajaan Malaysia (CEP) dalam membantu kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup.

“Program ini menggunakan satu sistem pesanan dan pengedaran di mana ANGKASA berperanan menyelaras penawaran dan permintaan barang keperluan asas dengan membantu membuat pembelian secara pukal dan tunai melalui pembekal untuk mendapatkan harga lebih rendah.

“Berteraskan e-dagang, sistem ini akan mengumpulkan belian barang asas secara pukal mengikut permintaan. Pengguna akan membuat pesanan terlebih dahulu sebelum barang-barang ini dihantar ke koperasi yang terlibat

“Ini akan mengurangkan kos pengendalian stor dan penyimpanan kerana tidak memerlukan ruang penyimpanan besar,”katanya.

Tambahnya, sebanyak 300 koperasi terlibat tahun ini dan pihaknya mensasarkan sehingga 3000 koperasi dalam usaha memastikan 6 juta ahli mendapat manfaat dalam tempoh tertentu.

“Dalam masa sama ANGKASA juga akan membantu kedai-kedai koperasi termasuk kemudahan kredit untuk mereka mengembangkan lagi perniagaan,”katanya.

No Image Caption

MACCOPS 2019 sasar 30,000 pengunjung, nilai perdagangan ke hadapan RM200 juta

Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi (MACCOPS) 2019 anjuran ANGKASA menyasarkan nilai perdagangan kehadapan sehingga RM200 juta.

Abdul Fattah berkata, MACCOPS menjadi platform ANGKASA melaksanakan peranan dalam menjenamakan produk dan perkhidmatan koperasi itu sendiri.

Menurutnya, ia juga menjadi pentas penjenamaan produk dan perkhidmatan untuk membina jaringan perniagaan koperasi dalam dan luar Negara.

“MACCOPS 2019 edisi ke-4 mengangkat tema ‘Koperasi Gerbang Global Perdagangan Lestari’ (Coop Global Gateway to Sustainable Trade) dengan memberikan fokus untuk menjadikan sektor koperasi sebagai ejen memperkasa pembangunan sosio ekonomi bagi masyarakat di seluruh dunia.

“Karnival ini turut memberi tumpuan untuk meningkatkan peranan sektor koperasi sebagai aset kelas baharu dan penggerak utama ekonomi dan keusahawanan sosial dalam menjana keuntungan dan meningkatkan perolehan golongan B40 di peringkat nasional dan global,” katanya.

Menurutnya, seramai 30,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa serta 2,000 pengunjung perdagangan dijangka menghadiri ekspo produk dan perkhidmatan koperasi terulung negara itu.

Beliau yang juga Presiden ASEAN Cooperative Organization (ACO) berkata, koperasi luar negara seperti Brunei, Indonesia, Vietnam, Sri Lanka, China dan Korea Selatan juga bakal menyertai MACCOPS kali ini.

“Persidangan tahunan ASEAN Co-operative Organization (ACO) turut akan dianjurkan sempena MACCOPS 2019, di mana kita akan bincang strategi bagaimana untuk perkasakan perniagaan koperasi di seluruh ASEAN yang melibatkan hampir 200,000 koperasi dengan keanggotaan lebih 60 juta orang.

“ANGKASA sebagai badan apeks koperasi Negara akan terus komited menjadikan MACCOPS sebagai platform perdagangan antara koperasi dan koperasi (C2C) di peringkat nasional dan global serta landasan untuk menghubungkan masyarakat dengan gerakan koperasi,” katanya.

MACCOPS Edisi ke empat akan berlangsung pada 28 hingga 30 November ini di Persada International Convention Centre, Johor Bahru dan terbuka untuk orang ramai.

Penganjuran MACCOPS 2019 bersama-sama Suruhanjaya Koperasi Malaysia mendapat sokongan dan dokongan padu daripada Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).