X

Kindly register in order to view this article
!

Dakwah tanggungjawab pihak berkuasa

Maznah Daud
A
A

PUTRAJAYA - Pihak berkuasa mempunyai tanggungjawab besar dalam perlaksanaan dakwah yang mana ia bukan hanya diletakkan pada bahu individu Muslim semata-mata.

Penasihat Majlis Perundingan Wanita Rahmah (Mawar) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Maznah Daud berkata, berdasarkan ayat 41 surah Al-Hajj, ALLAH SWT menegaskan bahawa orang yang diberi kuasa bertanggungjawab dalam melaksanakan dakwah.

"Kita sedar, paling besar tanggungjawab dakwah adalah pihak berkuasa. Dakwah bukan hanya terletak di bahu individu Muslim tapi dipegang oleh yang paling berkuasa.

"ALLAH SWT dah tegaskan orang yang diberi kuasa, tanggungjawab dia mengajak orang solat, mengurus zakat dan berusaha mengajak kepada makruf dan mencegah mungkar," katanya pada Wacana Sinar Harian siri-141 bertajuk 'Dakwah Tanggungjawab Siapa? di Kompleks Islam Putrajaya semalam.

Tambah beliau, bagaimanapun tiada pengecualian dalam tanggungjawab melaksanakan dakwah kerana setiap Muslim perlu memainkan peranan.

Katanya, dalam melunaskan tanggungjawab itu ia juga tidak terhad terhadap perlakuan lisan semata-mata tetapi merangkumi pelbagai sudut termasuk belakang tadbir.

"Jalan dakwah ini adalah jalan Rasullullah SAW dan sesiapa sahaja yang mengikuti baginda. Kalau tak dakwah maknanya kita bukan pengikut baginda. Jadi jelas kita tidak lepas daripada tanggungjawab itu.

"Berdakwah tak semestinya satu kaedah..ceramah atau dakwah dengan lisan. Kalau tak pandai cakap, kita tulis. Tak tulis pun kita sebarkan. Namun perlulah sahih sebab ALLAH SWT kata berdakwah dengan kefahaman yang jelas," katanya.

Beliau berkata, seseorang itu tidak semestinya perlu menguasai ilmu secara keseluruhannya untuk melaksanakan dakwah selagi dia mengetahui hala tuju dalam mengajak orang lain kepada Islam.

"Bila balik pada matlamat dakwah sebenar ialah mengajak semua manusia abdi diri kepada ALLAH SWT. Jadi dakwah ini tak kan pernah berakhir selagi mana seruan Islam ini tidak sampai kepada pendengaran semua manusia," katanya.

Beliau turut menekankan perbezaan mengajar ilmu dan berdakwah dalam konteks mengambil upah.

"Dalam berdakwah kita tidak boleh minta upah kerana upah itu ALLAH SWT yang sediakan. Upah yang besar adalah orang yang beriman. Mungkin ada yang minta (upah) itu adalah atas dasar ilmu dan kepakaran yang mereka sampaikan yang mana untuk mendapatkan ilmu tu pun mereka perlu mengeluarkan kos," katanya.