Mayat lelaki hilang di Sungai Tamparuli ditemui

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai semasa menguji tali 'flying fox’ berhampiran Taman Duta Villa, Tamparuli di sini Isnin lepas ditemukan hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan, memaklumkan mayat mangsa, Tai Kee Ting, 29, itu ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat pada jam 11.17 pagi.

“Mayat mangsa ditemui terapung di tepi sungai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

"Operasi yang disertai seramai 11 anggota dan pegawai itu ditamatkan pada jam 12.08 tengah hari,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, balai bomba Tuaran menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.28 pagi Isnin lalu dan operasi mencari mangsa digerakkan sejurus panggilan itu diterima.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dikatakan cuba menyeberangi sungai menggunakan ‘flying fox’ untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

Bagaimanapun, struktur besi permainan berkenaan tumbang sehingga menyebabkan tali berserta mangsa terjatuh ke dalam sungai.- Bernama

Artikel Berkaitan: