LZNK bakal bangunkan perkampungan mualaf

Syeikh Zakaria bergambar bersama peserta Program Maulidur Rasul Bersama Mualaf di pekarangan menara LZNK di sini hari ini.
Syeikh Zakaria bergambar bersama peserta Program Maulidur Rasul Bersama Mualaf di pekarangan menara LZNK di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bakal membangunkan sebuah perkampungan mualaf seluas 0.60 hektar di Mukim Lepai di sini pada penghujung tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, perkampungan itu diwujudkan bagi menyediakan perlindungan termasuk tempat tinggal dan juga pendidikan kepada saudara baharu.

Menurutnya, pihaknya kini dalam proses rundingan dengan Kompleks Pendidikan Islam Darul Hidayah di Kampung Sungai Mati, di sini bagi urusan pemilikan tanah.

"Selain lokasinya yang strategik, kompleks berkenaan turut dipilih kerana mempunyai institusi pendidikan yang lengkap mengikut peringkat umur," katanya ketika ditemui selepas Program Maulidur Rasul Bersama Mualaf di pekarangan menara LZNK di sini hari ini.

Syeikh Zakaria berkata, kerja-kerja pembinaan rumah dijangka akan dilaksanakan pada tahun hadapan dengan kos tidak melebihi RM1juta.

"Insya-ALLAH perkampungan itu berupaya memuatkan 20 buah keluarga mualaf yang mana rumah berkenaan juga akan dilengkapi dengan kelengkapan asas.

"LZNK turut menubuhkan jawatankuasa mualaf bagi membantu golongan ini membina kehidupan baharu selepas banyak kes yang kita dengar mereka dipinggirkan keluarga dan tidak mempunyai tempat tinggal," katanya.

Katanya, setiap saudara baharu akan diberi bantuan termasuk mendapatkan perlindungan selama tempoh lima tahun sehingga mereka mampu berdikari.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut Majlis Mufti Kebangsaan status mualaf hanyalah lima tahun, selepas itu mereka akan dikira sebagai orang Islam biasa.

"Jadi kita akan bantu mereka sehingga mereka mendapat pekerjaan dan boleh berdikari. Bagaimanapun proses pengajian Islam tetap diteruskan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, peserta perarakan Maulidur Rasul, Alya Aneesa Abdullah,31, berkata, dia sangat teruja diberi peluang menyertai perarakan itu yang pertama kali dalam hidupnya.

Katanya, dia diundang oleh seorang rakan melalui WhatsApp untuk menyertai perarakan berkenaan.

"Semasa berarak dan berselawat saya merasa sebak dan terharu kerana dapat meraikan sambutan ini bersama rakan mualaf lain.

"Saya memeluk Islam pada 2013, saya rasa sangat seronok hari ini dapat mengenali rakan-rakan mualaf lain serta menghayati sambutan Maulidur Rasul seperti yang dilakukan oleh umat Islam lain," katanya yang berasal dari Sabah.

Terdahulu kira-kira 85 orang mualaf berarak sambil berselawat sepanjang 300 meter yang bermula dan tamat di Menara Zakat di sini.

Uniknya pada perarakan kali ini, peserta membawa sepanduk dengan tulisan Bahasa Cina, India dan Siam yang membawa maksud Kami Sayang Nabi Muhammad SAW.